Saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 yang dijangka bermula Februari nanti akan terus menjanjikan kemeriahan selepas juara bertahan, Selangor MAC dan musuh tradisi, Pahang Rangers mengumumkan kehadiran pemain import dari Iran.

Baca Juga:

Dua pemain dibawa masuk untuk mengisi kuota Asia yang dibenarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu ialah Reza Sepandar dan Amin Nasrollah Zadeh.

Menurut sumber laporan Selangor MAC, kelab itu pada mulanya mendapatkan khidmat seorang lagi pemain Iran, Ali Ebrahimi tetapi berikutan masalah keluarga yang dihadapi menyebabkan juara berganda musim lalu itu memilih Reza Sepandar sebagai pengganti.

Pernah dipanggil beberapa kali untuk menyertai sesi latihan pusat skuad kebangsaan Iran, kelab terakhir yang diwakili oleh beliau ialah Sunich Saveh Futsal.

Pada ketika ini, kelab tersebut menghuni tangga keempat saingan Liga Super Futsal Iran 22/23 hasil 13 kemenangan, empat keputusan seri dan lima kekalahan.

Sementara itu, Amin Nasrollah yang diperkenalkan oleh Pahang Rangers semalam juga hadir dengan reputasi hebat kerana pernah membarisi skuad futsal kebangsaan Iran dalam satu kejohanan persahabatan, beberapa tahun lalu.

Dalam saingan liga musim ini, Amin menyarung jersi Foulad Zarand FSC yang berada empat anak tangga dibawah Sunich.

Meskipun kedua-dua pemain tersebut bukanlah berstatus seperti Hossein Tayebi, Moslem Oladghobad atau Saied Ahmad Abbasi yang beraksi di Sepanyol, kemampuan serta pengalaman hebat mereka mampu untuk memberikan impak besar dalam kempen MPFL.

Pemain tempatan terutamanya bakat muda dapat mempelajari banyak perkara yang akan dicurahkan oleh pemain-pemain tersebut untuk meningkatkan lagi kemampuan mereka.

Secara tidak langsung juga dengan kehadiran pemain-pemain import berkualiti tinggi ini akan merintis kepada penganjuran liga yang lebih baik pada masa akan datang.