Selangor FC mengeluarkan kenyataan rasmi tentang insiden di mana pemain mereka telah menyepak pengadil kerana tidak berpuas hati dikenakan kad merah.

Selangor dalam kenyataan mereka mengecam tindakan itu dan menyatakan bahawa kelab tidak pernah sesekali menyokong tindakan yang dianggap tidak ada semangat kesukanan dalam bola sepak.

Insiden itu berlaku dalam aksi suku akhir kedua antara Selangor FC dan Terengganu FC. Apabila pemain import mereka Yazan Al Arab bertindak ganas menyepak pengadil.

Pemain itu dijangka akan berdepan dengan hukuman berat daripada MFL. Sementara itu Selangor turut melakukan siasatan dalaman mereka berkenaan insiden tersebut dan beberapa lagi insiden yang berkaitan.

Selangor FC turut mengesahkan bahawa mereka akan mengemukakan satu laporan tentang mutu pengadilan dalam perlawanan di antara Selangor dan Terengganu dan meminta FAM membuat pertimbangan sewajarnya berkaitan prestasi pengadil.

Selangor FC menyimpulkan bahawa kelab akan mengumumkan tentang tindakan yang akan mereka ambil selepas melakukan siasatan.

Selangor FC dalam kenyataan rasmi mereka berkata:

“Pihak Kelab mengambil maklum berkenaan insiden-insiden yang berlaku sekitar perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia 2023 diantara Selangor FC dan Terengganu FC pada 24.09.2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya baru-baru ini.

Kelab Bola Sepak Selangor menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk tindakan yang tidak menghormati semangat kesukanan oleh mana-mana pihak.

Pihak Kelab sedang meneliti dan menjalankan siasatan dalaman berkenaan insiden-insiden tersebut dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi sebarang siasatan.

Selain itu, pihak Kelab percaya bahawa sebarang penjelasan perlu melalui saluran yang bersesuaian dan oleh itu, sebuah laporan mengenai mutu pengadilan perlawanan tersebut juga akan dikemukakan kepada FAM untuk pertimbangan yang sewajarnya.

Pihak Kelab akan mengumumkan tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan yang telah dijalankan dalam masa terdekat.”

Berdasarkan tinjauan Vocket FC di ruangan komen, ramai peminat turut mengecam tindakan pemain tersebut dan ada yang meminta agar Yazan Al Arab ditamatkan sahaja kontrak sebab telah mencemarkan imej kelab,

Selangor tersingkir daripad kempen Piala Malaysia 2023. Dan fokus mereka kini adalah pada aksi Liga Super Malaysia dalam usaha mereka mahu mengejar slot ke Asia musim hadapan.