Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil keputusan untuk merehatkan Penjaring Terbanyak Liga Super musim 2018, Rufino Segovia sehingga ke penghujung saingan Liga Malaysia musim ini.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan pihaknya terpaksa berbuat demikian setelah mengambil kira saranan daripada doktor yang menasihati agar Rufino berehat panjang.
“Kami mengambil keputusan untuk mengekalkan Endrick dan merehatkan Rufino. Penyerang itu harus direhatkan sehingga November dan akan kembali beraksi musim hadapan,” kata Johan menurut laporan Stadium Astro.
Tambah Johan, FAS nyata kecewa kerana Rufino Segovia tidak lagi dapat beraksi bersama Selangor bagi menghadapi baki musim ini.
Walaubagaimanapun, FAS tidak menamatkan kontrak Rufino meskipun kelibatnya bersama pasukan Selangor tidak akan dilihat selepas ini.
Tempat Rufino diisi oleh Ifedayo Olesegun yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2019. Ifedayo setakat ini telah menjaringkan 4 gol dalam saingan Liga Super.