Bekas ketua jurulatih Felda United, Mohd. Nidzam Jamil menjelaskan keputusan untuk bersama Selangor FC adalah satu pilihan mudah walaupun turut menerima tawaran dari beberapa pasukan lain.
Dalam masa sama, beliau tidak mahu ramai melihat penerimaannya untuk menjadi penolong ketua jurulatih Selangor FC sebagai istilah turun pangkat sebaliknya sebaliknya mahu jadi sebahagian untuk membantu menaikkan nama skuad Merah Kuning itu di persada Liga Malaysia.
“ Sejujurnya saya ada terima beberapa tawaran lain selaku ketua jurulatih dari pasukan Liga Premier tetapi saya tidak memilih ke sana kerana merasakan ini waktu terbaik untuk balik ke Selangor.
“ Ini bukan pilihan yang susah buat saya untuk katakan tidak kepada Selangor kerana semua orang tahu Selangor adalah antara pasukan yang baik di Liga Malaysia.
“ Malah saya tertarik dengan projek yang sedang dilakukan Selangor dengan memberikan penumpuan serius terhadap pembangunan pemain-pemain muda dari Selangor 2 dan 3 serta graduan dari AMD (Akademi Mokhtar Dahari) yang turut berada di sini.
“ Ini bukan soal hendak menjadi nombor satu atau dua tetapi kerana saya pernah berada di kedua-dua tempat tersebut sebelum namun apa paling penting, apa yang saya boleh tawarkan kepada Selangor pada musim depan, ” katanya.
Pada 22 November lalu, beliau dan Karsten Neitzel dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Selangor FC bagi membantu kepada Michael Feichtenbeiner pada hadapi musim 2022.
Nidzam Jamil bertindak ketua jurulatih di Felda selama dua musim pada 2019 dan 2020 selain pernah menjadi penolong ketua jurulatih kepada B.Satianathan pada musim 2017 serta 2018.
Dalam kariernya selaku pemain, Nidzam pernah menyarung Selangor FC selama lima musim dari tahun 1999 hingga 2004 selain pernah beraksi dengan PKNS, Negeri Sembilan dan Proton FC.
Sementara itu, Nidzam tidak menafikan nama Selangor mempunyai nilai sentimental tersendiri buat dirinya kerana di sanalah beliau bermula segala-galanya dalam bola sepak.
“ Saya sememangnya ada sentimental tersendiri dengan Selangor kerana dari sinilah saya mengenali bola sepak, bermula menjadi pengutip bola, berlatih di akademi sebelum bermain di semua kejohanan peringkat umur di Selangor dan diserap ke pasukan senior.
“ Malah semasa remaja dahulu, saya sanggup naik bas dari Kajang untuk menyaksikan perlawanan membabitkan Selangor.
“ Segala kenangan itu memang seronok yang menjadikan saya mahu jadi sebahagian balik dengan Selangor dan saya rasakan ini tempoh paling baik bagi bersama pasukan, ” tambah Nidzam Jamil lagi.