Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo menganggap pasukannya lebih baik berbanding Indonesia selepas aksi kedua-dua pasukan peringkat separuh akhir saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 baru-baru ini.

Baca Juga:

Vietnam sekadar mencatat keputusan seri 0-0 pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno sekaligus gagal untuk mendapatkan kelebihan gol di tempat lawan.

Hang-seo menganggap Indonesia merupakan salah satu pasukan terkuat di rantau Asia Tenggara namun menegaskan Vietnam jauh lebih hebat berbanding skuad Garuda.

“Ya sudah tentu Indonesia pasukan terkuat di rantau ini. Tapi pasukan saya jauh lebih kuat dan hebat.

“Seperti yang kita tahu, Shin Tae-yong sudah tiga tahun bekerja di skuad Indonesia dan mereka mempunyai ramai pemain naturalisasi. Pemain kami mampu untuk mengalahkan mereka dengan keputusan 4-0, mencatat keputusan seri sekali dan menewaskan mereka di perlawanan penentuan pingat emas Sukan SEA 2021,” kata Park Hang-seo.

Hang-seo turut berpuas hati dengan keputusan seri yang diraih di Gelora Bung Karno kerana Indonesia tampil lebih baik berbanding juara Piala AFF edisi 2018 itu.

“Ya saya berpuas hati dengan keputusan yang diraih oleh pasukan dan pemain saya hari ini (semalam),” tambahnya.

Perlawanan separuh akhir kedua akan diadakan di gelanggang keramat Vietnam iaitu di Stadium My Dinh pada 9 Januari ini. Indonesia pastinya mahu menamatkan kemarau tanpa kejuaraan Piala AFF.

Sementara Vietnam, mereka mahu memberikan hadiah perpisahan bermakna untuk Park Hang Seo dalam kempen terakhir jurulatih legenda itu bersama mereka.

Malam ini, satu lagi perlawanan separuh akhir pertama akan berlangsung yang melibatkan Malaysia bertemu Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.