Sejarah dan prestij Piala Malaysia menjadi faktor utama mengapa saingan tersebut dikekalkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekiranya saingan Liga Malaysia musim ini disambung pada September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata ada beberapa sebab mengapa saingan Piala Malaysia dikekalkan berbanding Piala FA.

Sejarah
CEO MFL, Datuk Ghani Hassan

“Piala Malaysia adalah jenama bagi negara kita dan ia mempunyai nostalgia yang patut diingati oleh peminat bola sepak khususnya di negara ini. Itu antara faktor kita kekalkan Piala Malaysia, walaupun terpaksa korbankan Piala FA.

“Malah, dalam keadaan ketika ini, kita terpaksa mengorbankan sesuatu kejohanan termasuk Piala Cabaran.

“Kalau tiada musibah yang berlaku sekarang ini, kita memang merancang akan mengadakan jelajah dan sebagainya sempena 100 tahun Piala Malaysia. Jadi kita lupakan sementara Piala FA,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sejarah
JDT memenangi saingan Piala Malaysia musim lalu. Sumber Gambar: Harian Metro

MFL mengumumkan saingan Liga Malaysia musim ini dijadualkan kembali bersambung pada September ini dan akan dijalankan dengan format baharu.

Liga Super dan Liga Perdana akan dilangsungkan satu pusingan manakala Piala Malaysia yang akan membabitkan 16 pasukan pula, berlangsung secara kalah mati, tanpa aksi peringkat kumpulan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

JDT, Pahang Dan Kedah Ke Asia Tahun Depan Jika Saingan Liga Malaysia 2020 Dibatalkan

Juara Piala Malaysia Dan Naib Juara Liga Super Dapat Slot Ke Piala AFC 2021 Jika Liga Malaysia 2020 Diteruskan

AFC Tiada Masalah Dengan Cadangan Format Baharu Liga Malaysia 2020