Ketua jurulatih Vietnam, Philippe Troussier telah meluangkan banyak masa untuk mengkaji setiap kelemahan dan kekuatan pasukan Malaysia B-22 menjelang pertemuan penting acara bola sepak lelaki Sukan SEA malam ini.

Baca Juga:

Menurut laporan daripada Bongdaplus, Troussier menjadikan aksi menentang Malaysia sebagai penanda aras kekuatan pasukannya dan wajib menang untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Vietnam telah membuat persiapan yang lebih rapi berbanding Malaysia dan mereka sempat menyertai Piala Doha B-23 di Qatar sebelum menghadapi saingan Sukan SEA.

Jurulatih dari Perancis itu lebih gemar dengan corak permainan hantaran pendek dan menuntut anak buahnya memegang bola sehingga tamat 90 minit perlawanan.

Penyerang Vietnam, Nguyen Thanh Nhan turut mengakui Malaysia bukan lawan yang mudah dan mereka juga telah membuat kerja rumah untuk kaji corak permainan skuad Elavarasan itu.

“Saya dan seluruh pasukan telah membuat persiapan rapi untuk perlawanan ini. Malaysia pasukan yang kuat. Kami jangkakan perlawanan akan jadi lebih sengit,” kata Thanh Nhan.

Waktu rehat selama 5 hari juga turut  memberi kelebihan kepada Vietnam untuk memulihkan tahap kecergasan mereka yang merupakan juara bertahan Sukan SEA.

Berdasarkan kedudukan terkini kumpulan B, Vietnam berada di tangga kedua dan terikat 6 mata dengan Thailand. Baki dua perlawanan terakhir bakal jadi penentu dua pasukan teratas kumpulan bagi merebut slot separuh akhir.

Namun, kelebihan akan memihak kepada Malaysia jika skuad negara berjaya menewaskan Vietnam dan wajib mengutip 3 mata dalam perlawanan terakhir menentang Singapura pada 11 Mei ini.

“Rehat selama 5 hari beri kelebihan pada Vietnam. Semalam, pasukan lawan telah bermain dan kami baru nak mulakan sesi latihan. Saya tidak sabar dan sudah bersedia untuk menentang Malaysia,” tambah Thanh Nhan.

Kelibat, penyerang muda kelab Hanoi FC, Nguyen Van Tung wajar diberi perhatian oleh benteng Malaysia dengan pemain berusia 21 tahun itu meledak gol ketika membantu pasukannya menewaskan Laos dan Singapura sebelum ini.