Hasrat untuk melihat skuad bawah 22 tahun Malaysia mara lebih jauh dalam Sukan SEA 2023 tidak kesampaian selepas tunduk 1-2 di tangan juara bertahan pada aksi kumpulan B, semalam.
Baca Juga:
- Sukan SEA 2023: Malaysia Kecundang Di Tangan Thailand
- Kehadiran Kim Pan Gon Tingkatkan Semangat Pemain Malaysia B-22
- Sukan SEA 2023: Empat Pemain Liga Super Jadi Tonggak Skuad Malaysia B-22
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan perjalanan skuad negara gagal ke separuh akhir meskipun masih berbaki satu perlawanan iaitu bertemu Singapura.
Pengendali skuad B-22 Malaysia, E. Elavarasan mengakui keadaan permukaan padang serta cuaca hujan sepanjang perlawanan menjejaskan rentak permainan pasukannya.
“Kita memang sasar untuk paling kurang pergi ke perlawanan akhir, jadi standard yang kita tunjuk (berdepan Vietnam) sepatutnya kita kena ada di sana.
“Kadang-kadang dalam keadaan macam ini kita kena terima keputusan yang dibuat. Kami tidak boleh persoal mengenai pengadil, keputusan mereka adalah muktamad.
“Orang berpengalaman akan tahu keadaan cuaca mempengaruhi pasukan. Dalam keadaan padang macam ini, cuaca hujan permainan akan berubah,” katanya dipetik dalam Berita Harian.
Vietnam tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Nguyen Van Tung menyudahkan percubaan susulan ketika sepakan penalti yang diambil pada mulanya ditepis keluar penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil perlawanan dari Jepun, Jumpei Lida selepas rembatan Minh Trong Vo terkena tangan pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar.
Anak buah Phillipe Troussier itu kemudian menambah gol kedua pada minit ke-33 menerusi Van Tung hasil tandukan selepas menerima hantaran lintang Trong Vo.
Aliff Izwan kemudiannya hampir menyamakan kedudukan berselang seminit kemudian tetapi rembatannya hanya melewati palang gol ketika beliau sudah berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan.
Malang menimpa skuad negara pada lewat permainan apabila pemain gantian, Safwan Mazlan dan Najmudin Akmal Kamal dilayangkan kad merah.
Elavarasan turut mengakui kegagalan menyudahkan beberapa peluang yang diperoleh turut menjadi antara faktor pasukannya gagal mendapatkan keputusan lebih positif.
“Bagi saya mereka memberikan 100 peratus dalam permainan, daripada permainan tadipun kita perlu tahu sebab yang kita mengalami kekalahan.
“Kadang-kadang kita kena terima, kita main bagus, bukan kata tak bagus. Untuk perlawanan ini kita tidak mendapat gol apabila memperoleh peluang dan kita terpaksa terima,” katanya.