Pengurus Argentina, Lionel Scaloni tanpa berselindung mengakui bahawa kudrat pemenang legenda hidup, Lionel Messi akan terus ditagih meskipun impiannya untuk menjulang trofi Piala Dunia sudah direalisasikan.

Baca Juga:

Menjadi watak penting membantu Argentina meraih gelaran juara dalam kempen di Qatar itu sekali gus telah menobatkan Messi selaku pemenang Bola Emas dan menjadi penjaring kedua terbanyak kejohanan, hanya satu gol dibelakang Kylian Mbappe.

Aksi final awal pagi tadi juga menyaksikan beliau berjaya menjaringkan dua gol pada 120 minit perlawanan dan menjadi pemain pertama Argentina menyudahkan peluang ketika penentuan sepakan penalti.

Susulan sumbangan hebat yang dijelmakannya walaupun sudah berusia 35 tahun, Scaloni mengharapkan agar khidmat Messi dapat digunakan pada Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

“Messi sepatutnya akan mendapat tempat lagi dalam saingan Piala Dunia akan datang. Jika dia mahu terus bermain, ’10’ [merujuk kepada nombor jersi beliau] akan sentiasa menjadi miliknya.”

Dalam perkembangan lain, Scaloni turut meluahkan rasa bangganya melihat barisan pemain Argentina menunjukkan disiplin tinggi untuk menghadiahkan kejuaraan Piala Dunia buat kali ketiga.

“Saya tidak percaya bahawa kami telah menderita begitu banyak dalam permainan yang sempurna. Sukar untuk dipercayai tetapi pasukan ini bertindak balas terhadap segala-galanya.”

“Saya bangga dengan kerja yang telah mereka lakukan. Ia adalah kumpulan [pemain] yang menarik. Dengan tamparan yang kami terima hari ini [malam tadi], dengan keputusan seri, ini membuatkan kami terharu.”

“Saua ingin memberitahu kepada semua orang agar menikmatinya. Ia ada;ah detik bersejarah buat negara kita,” ujar Scaloni menurut laporan Goal.

 

Sumber