Pengendali pasukan Selangor, B.Sathianathan memberi bayangan beliau mahu membuat perubahan dalam pasukan dengan menggugurkan pemain import yang kurang menyerlah bagi digantikan dengan pemain baru apabila jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2019 dibuka pada Mei ini.
Menurut Sathia, beliau mahu bertemu dengan pengurusan pasukan dan membincangkan tentang pemain mana yang akan dilepaskan. Perubahan perlu dilakukan bagi memastikan Selangor mampu untuk menjadi pasukan pencabar dan memenangi satu piala musim ini.
“Saya akan bercakap dengan pengurusan. Prestasi beberapa pemain import di tahap membimbangkan, kita perlukan import yang jauh lebih berkualiti sebab sasaran kita adalah menang satu piala. Jadi perubahan perlu dibuat.
“Pemain yang cedera panjang pun kita akan bincang dengan mereka. Kalau cedera sampai 5-6 game tak main pun susah juga, ia tidak membantu pasukan dan satu kerugian apabila kita tidak dapat gunakan mereka,” katanya.
Melihat kepada situasi semasa, dua pemain import iaitu Michal Nguyen dan Endrick Dos Santos dilihat menjadi pemain yang akan digugurkan oleh Sathia. Nguyen menjadi sasaran kritikan peminat kerana prestasi yang ditampilkan tidak seperti yang diharapkan. Malah, ramai pihak berpendapat kemampuan beliau hanyalah setaraf pemain tempatan.
Endrick pula dijangka berehat lama berikutan kecederaan yang dialami. Kali terakhir beliau tampil bersama Selangor ketika perlawanan menentang Terengganu FC sebelum dikeluarkan kerana mengalami kecederaan dan digantikan dengan K.Sarkunan.