Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) nampaknya terpaksa melupakan hasrat untuk menyaksikan skuad muda negara bertanding di pentas Piala Dunia bawah 20 tahun (B-20) 2023.

Baca Juga:

Berdasarkan Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM yang diberi nama F:30, antara sasaran ditetapkan untuk skuad bawah 19 tahun negara ialah layak ke Piala Dunia B-20 yang bakal berlangsung di Indonesia tahun depan.

F:30 dilancarkan pada tahun 2018 dengan perencanaan menjadi lima negara terbaik Asia menjelang 2030.

Bagaimanapun, sasaran itu gagal dicapai apabila skuad kendalian Hassan Sazali Waras telah terkeluar daripada perebutan tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-20 selepas tewas 2-6 kepada Korea Selatan semalam.

Ini kerana saingan Piala Asia B-20 menawarkan 4 tiket automatik ke Piala Dunia B-20 untuk pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir. Jika Indonesia selaku tuan rumah Piala Dunia B-20 berjaya ke separuh akhir, maka pasukan yang tewas di peringkat suku akhir berpeluang rebut slot tersebut.

Kegagalan skuad muda negara layak ke Piala Asia B-20 turut dikritik hebat oleh para peminat bola sepak tempatan. Ada juga yang mempersoalkan persiapan mereka sebelum hadapi saingan kelayakan.

Mongolia
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Difahamkan, skuad negara hanya sempat mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan tempatan beberapa hari sebelum berlepas ke Mongolia.

Sebelum itu, mereka juga menyertai kejohanan jemputan, Youth International U-19 Football Tournament 2022 anjuran Konfederasi Bolasepak Vietnam (VFF) bermula 5 hingga 11 Ogos 2022 di Binh Duong, Vietnam.

Kejohanan ini dijadikan medan ‘eksperimen’ untuk Hassan Sazali menguji beberapa muka baharu yang tidak dipilih menyertai AFF B-19 2022 dimana Malaysia muncul sebagai juara.

Daripada 20 pemain yang disenaraikan ke kejohanan jemputan tersebut, Hassan Sazali hanya mengekalkan enam pemain dari skuad yang menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2022 Indonesia pada 15 Julai lalu.

Bagaimanapun, hanya 16 daripada 25 pemain dari skuad yang menjuarai AFF B-19 2022 dipilih dalam senarai akhir ke Mongolia bersama 10 pemain daripada skuad yang muncul naib juara kejohanan jemputan Vietnam.

Persiapan yang kurang rapi sering menjadi punca kegagalan skuad negara mencapai keputusan terbaik dalam kejohanan di peringkat tertinggi.

Justeru itu, kebanyakan peminat berpendapat FAM membuat sasaran tidak  realistik dan perlu mengambil sikap ukur baju di badan sendiri dahulu sebelum sasar ke Piala Dunia. Perancangan tanpa sebarang usaha akan menjadi sia-sia.