Ketua Pegawai Operasi Terengganu FC (TFC), Mohd Sabri Abas mengesahkan lima pemain import termasuk pemain dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov tidak lagi bersama pasukan pada musim depan kerana kontrak mereka tidak disambungkan.

Menurut kenyataannya dalam Harian Metro, TFC akan mendapatkan pemain import baharu berdasarkan kemampuan kewangan mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan AFC Cup musim depan.

“Ya kita sudah membuat keputusan tidak menyambung kontrak lima pemain import berkenaan bagi menghadapi saingan Liga M dan Piala AFC musim depan.

“Keputusan ini dibuat selepas perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan dan juga jurulatih berhubung perkara itu. Sebab utama kontrak mereka tidak disambung adalah mengenai perancangan pasukan dan juga faktor kewangan.

“Berkenaan bekas kapten, Lee Tuck dan pemain tengah, Sanjar Shaakhmedov yang dilepaskan, sebenar kita masih lagi berminat untuk mendapatkan khidmat mereka, tapi disebabkan kekangan kewangan kita terpaksa melepaskan mereka.

“Ini kerana musim depan kita menyasarkan penjimatan perbelanjaan antara 20 hingga 30 peratus, sebab itu kita perlu mengambil pemain berdasarkan kemampuan kewangan kita bagi mengelak masalah lain timbul,” katanya.

Tabung
Pemain tengah Terengganu, Sanjar Shaakhmedov. Sumber Gambar: Terengganu FC

Sanjar menyertai TFC pada musim 2019 ketika dibawah kendalian Irfan Bakti. Berdasarkan rekod, beliau merupakan bekas pemain terbaik kelab Lokomotiv Tashkent musim 2018 yang muncul juara Liga Uzbekistan tiga tahun berturut-turut mulai 2016.

Sepanjang bersama TFC, Sanjar telah menjaringkan 16 gol dalam 37 penampilan sejak 2019.

Pemain itu juga berpengalaman beraksi dalam saingan Piala AFC selama tiga tahun namun ketiadaannya dikatakan bakal merugikan skuad TFC yang memerlukan pemain terbaik untuk beraksi di pentas asia.

Selain Sanjar, TFC turut tidak menyambung kontrak pemain Senegal, Babacar Diallo, Lee Tuck, pemain kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli dan pemain Mauritania, Dominique Da Sylva walaupun mereka memperagakan aksi terbaik sepanjang musim ini.

Difahamkan Sanjar menerima tawaran daripada kelab di Korea Selatan manakala Lee Tuck akan menyertai Pahang pada musim depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Kontrak Kurniawan Sebagai Ketua Jurulatih Sabah Mungkin Tidak Dilanjutkan

JDT Umumkan Kerjasama Dengan Subway, Sebuah Kedai Akan Dibuka Di Stadium Sultan Ibrahim Tahun 2021

Hajat Han Kwang-song Beraksi Di Malaysia Tidak Kesampaian Kerana Isu Gaji