Drama kekalahan Man United pada masa kecederaan masih tak habis, dan kini muncul drama baharu di mana Sancho menyindir pembohongan Erik Ten Hag.

Sebelum aksi menentang Arsenal, pengurus asal Belanda itu ditanya tentang kenapa tiada nama Jadon Sancho dan Scott McTominay di dalam senarai pasukan. Adakah kedua duanya tidak cergas.

Ten Hag menjawab: “Hanya Scott yang sakit, Jadon [Sancho], dia tidak dipilih kerana mengambil kira prestasinya ketika sesi latihan yang tidak memuaskan.”

Wartawan seterusnya bertanya adakah Ten Hag sedang memberitahu bahawa Jadon Sancho ada masalah disiplin ketika latihan?

Hal ini kerana pada masa lalu, Sancho memiliki beberapa rekod disiplin yang teruk ketika latihan. Dia pernah dikenakan tindakan oleh Borussia Dortmund dan Man City kerana masalah disiplin ketikan latihan.

Gareth Southgate pernah secara terbuka menyatakan peranan Sancho dalam pasukan England terpaksa dikurangkan bukan kerana dia tak banyak minit permainan di kelab namun kerana isu komitmen dan prestasinya ketika latihan pasukan kebangsaan.

Itulah sebabnya wartawan bertanya kalau pemain itu ada masalah dengan disiplin.

Pengurus Man United, Erik Ten Hag berkata: “Tak! Kamu harus mencapai standard yang terbaik di Man United.”

Kenyataan Ten Hag itu kurang disenangi pemain antarabangsa England itu yang kemudian mengeluarkan kenyataan tentang isu kualitinya ketika sesi latihan.

Menurut Sancho, dia telah menjalani latihan yang sangat baik namun ada alasan lain di sebalik kenapa dia tak dipilih berbanding pemain lain seperti Antony.

Sancho sudah bosan dianiayai sebagai kambing hitam di dalam pasukan.

Dan Sancho enggan mendedahkan terlalu terperinci perkara itu. Namun Sancho jelas menyindir pembohongan Ten Hag tentang kualitinya ketika sesi latihan.

Berikut adalah kenyataan daripada Jadon Sancho:

“Tolonglah jangan percaya dengan semua yang kamu baca! Saya tak akan membenarkan mereka menyebut perkara yang tidak benar sama sekali. Saya telah menjalani latihan yang sangat baik minggu ini.”

“Saya percaya ada alasan lain untuk perkara ini yang saya tak akan sebutkanya lebih lagi.”

“Saya telah menjadi kambing hitam sejak sekian lama, di mana ianya adalah tak adil.”

“Apa yang saya mahukan hanyalah bermain bola sepak dengan senyuman di wajah saya dan menyumbang kepada pasukan.”

“Saya menghormati semua keputusan yang dibuat oleh staf kejurulatihan, saya bermain dengan pemain pemain luar biasa dan sangat bertuah untuk melakukannya. Di mana saya tahu setiap minggu adalah cabaran.”

“Saya akan terus berjuang untuk lencana ini tidak kira apa yang berlaku.”

Adakah kenyataan ini akan membuatkan hubungan Sancho dan Ten Hag akan retak selepas ini?

Pastinya peminat Man United mahukan hubungan mereka kekal baik baik sahaja.

Ini bukan pertama kali Sancho menggunakan ayat menyatakan dia sebagai kambing hitam. Sebelum ini di Borussia Dortmund juga dia menegaskan bahawa dia juga pernah dijadikan kambing hitam.