Legenda bola sepak Sepanyol, Michel Salgado berpendapat skuad La Roja mempunyai masa depan yang cerah sekiranya mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersingkir di pusingan 16 Piala Dunia 2022.
Baca Juga:
- Morocco vs Sepanyol: Singa Atlas Baham La Roja
- Enrique Dedah Langkah Awal Tak Mahu Sepanyol Kecewa Dalam Penentuan Sepakan Penalti
- Luis Enrique Tetap Puji Aksi Anak Buahnya Walaupun Tersingkir
Sepanyol yang dibimbing Luis Enrique terpaksa menelan kepahitan tunduk 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti ditangan Maghribi selepas aksi 120 minit berkesudahan tanpa jaringan.
Dengan mengenepikan beberapa pemain senior seperti Sergio Ramos, Thiago Alcantara, Nacho Fernandez dan David De Gea yang tidak dibawa ke Qatar, Enrique memilih untuk membariskan skuad lebih muda.
Ia jelas dapat disaksikan apabila dua pemain berbakat besar, Pedri dan Gavi menjadi sandaran utama di jentera tengah untuk bergandingan dengan seorang lagi tonggak berpengalaman daripada Barcelona, Sergio Busquets selaku ketua pasukan.
Selain itu, Enrique turut memberikan peluang kepada trio berusia 20 tahun kebawah iaitu Ansu Fati, Nico Williams dan Alejandro Balde.
Sehubungan dengan itu, Salgado yang membuat 53 penampilan bersama skuad kebangsaan Sepanyol melihat pasukan tersebut masih memiliki masa depan cerah untuk mencapai kejayaan.
“Sekiranya kita mahu memenanginya [Piala Dunia] sekali lagi, kita perlu membuat keputusan yang bersih dan perlu mula bekerja dengan semangat baharu.”
“Saya fikir ini adalah pasukan yang boleh memberikan sesuatu [pencapaian] yang lebih besar pada Piala Dunia akan datang,” ujar Salgado menurut laporan FotMob.
“Ini adalah pasukan yang dipenuhi dengan banyak bakat berkualiti, tidak ada keraguan tentang perkara tersebut. Saya percaya apa yang kita tidak boleh lakukan sekarang adalah merasakan kita tidak boleh bangkit daripada kegagalan itu. Sebaliknya, kita perlu untuk bersikap positif.”
“Kami tidak akan mengubah identiti pasukan [permainan tiki-taka]. Sepanyol adalah negara yang diukur dengan bola sepak penguasaan bola dan kawalan permainan. Apa yang perlu kami lakukan ialah menyesuaikan diri dengan zaman moden.”
“Sudah tiba masanya untuk menganalisis bagaimana kami boleh menjadi lebih baik dengan apa yang kami ada dan mencari sekumpulan pemain yang boleh kembali memenangi Piala Dunia,” tambah Salgado lagi.