Juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim mengalami kekalahan kedua dalam saingan kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 apabila tunduk kepada kelab Chinese Super League, Shandong Luneng dengan keputusan 2-1 pada perlawanan yang diadakan di Stadium Kompleks Sukan Jinan, semalam.
Bekas bintang Manchester United, Marouane Fellaini dan penyerang kebangsaan Itali, Graziano Pelle berjaya menjaringkan gol masing-masing pada separuh masa pertama sekaligus memberikan kemenangan sulung Shandong dalam saingan ACL 2019.
Meskipun tewas, namun persembahan yang ditampilkan oleh pemain sayap pasukan, Safawi Rasid pada perlawanan semalam menuai pujian dari ramai pihak. Kelincahan serta kepantasan yang dimiliki Safawi kerap mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Shandong.
Ketua pasukan skuad bawah 23 tahun negara ini juga berjaya menjaringkan satu gol, lebih tepatnya pada separuh masa kedua. Rembatan yang dilakukan oleh Pawi dari jarak 25 meter gagal ditepis oleh penjaga gol Shandong, Wang Dalei. Gol tersebut juga berpotensi untuk diangkat sebagai gol terbaik minggu ini bahkan gol terbaik bagi saingan edisi 2019.
60' – WHAT A GOAL from Safawi! 2-1 #JDT!
Safawi Rasid has scored a stunner as he battles Shandong Luneng defender and still manages to find the top corner from a long distance! @OfficialJohor have reduced the deficit here! #SDLvJDT #ACL2019 pic.twitter.com/geEgFcru8X
— FOX Sports LIVE! (@FSAsiaLive) April 9, 2019
Persembahan yang ditampilkan oleh Safawi semalam menjadi bukti bahawa beliau mempunyai kualiti serta sudah bersedia untuk beraksi di pentas yang lebih besar seperti saingan J League.
Jika Safawi beraksi di salah satu liga terbaik di rantau Asia itu, pemain berusia 22 tahun ini mampu untuk meningkatkan lagi kualiti serta mutu permainan beliau. Ini kerana beliau akan berhadapan dengan barisan pemain yang jauh lebih baik dan berkualiti daripada Liga Malaysia.
Kualiti yang dimiliki oleh Pawi perlu dipertingkatkan bagi memastikan pasukan kebangsaan dibarisi oleh pemain terbaik.