Pasukan Sabah berazam untuk meraih tiga mata penuh ketika berdepan dengan UiTM FC pada Selasa ini sekaligus mengesahkan kejuaraan Liga Perdana musim 2019 menjadi milik mereka.
Pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berkata pemain kini mempunyai motivasi tinggi selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim II minggu lalu yang menyaksikan Sabah kembali ke kancah Liga Super setelah kali terakhir beraksi di saingan peringkat tertinggi itu pada 2012.
“Pertemuan dengan JDT II di Pasir Gudang umpama final ke Liga Super, menang dan menamatkan penantian tujuh tahun pasukan Sabah untuk kembali ke saingan utama bola sepak negara itu.
“Menentang UiTM FC di Stadium UiTM juga umpama satu lagi final dan kita mahu memenanginya untuk ditabal selaku juara Liga Perdana,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Pasukan bimbingan Jelius Ating itu ketika ini mengungguli carta Liga Perdana dengan kelebihan empat mata di hadapan JDT II. Selain itu, Sabah juga mempunyai kelebihan dari segi jumlah perlawanan apabila mereka masih mempunyai baki tiga perlawanan berbanding dua yang dimiliki oleh JDT II.
KEDUDUKAN TERKINI PUSINGAN LP19 LIGA PREMIER 2019#LigaPremier2019 pic.twitter.com/ABI4Ythb7g
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 6, 2019
Sabah akan turun tanpa kelibat dua pemain import, Park Taesu serta Ahmet Atayev serta seorang pemain tempatan, Randy Baruh Samson selepas ketiga-tiga pemain ini digantung perlawanan akbat jumlah kad kuning dikumpu pada perlawanan sebelumnya.
Datuk Peter turut menyeru kepada peminat sabah yang berada di sekitar Lembah Klang untuk datang memberikan sokongan bagi menaikkan lagi semangat pemain.
“Saya merayu kepada penyokong Tambadau terutama yang ada di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur untuk datang beramai-ramai memberi sokongan moral kepada pasukan sebagaimana diberikan mereka di Pasir Gudang,” tambahnya.