Semalam merupakan hari yang cukup mengembirakan bagi rakyat Sabah apabila skuad Tambadau dinobatkan sebagai juara Liga Premier musim ini sekaligus menamatkan penantian selama 23 tahun tanpa trofi selepas menewaskan UiTM FC dengan jaringan 2-1.

Kemenangan itu hadir tepat pada masanya selepas mereka mengesahkan tiket ke saingan Liga Super musim depan beberapa hari lalu. Bagaimanapun, skuad kendalian Jelius Ating itu terpaksa bermandi peluh apabila terlebih dulu ketinggalan satu gol sebelum bangkit mencetak dua gol lagi di separuh masa kedua.

Dalam perlawanan itu, Sabah lebih menguasai permainan dan kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan tuan rumah. Malah, mereka turut memiliki beberapa peluang baik untuk memperoleh gol pertama namun dikecewakan dengan penyudah yang tumpul.

66175754_2416980385215747_6132825411601563648_n
Barisan pemain utama Sabah. FOTO: SAFA

Pada minit ketiga, sepakan percuma Alto Linus dan rembatan jarak jauh Ricco Nigel Milus hampir menghadiahkan gol pertama Sabah namun ia diselamatkan penjaga gol dan tinggi melepasi peluang.

11 minit kemudian, pelawat terus mengandakan serangan ke kubu lawan melalui gandingan dua penyerang import iaitu Aguilnaldo Mendes dan Rodoljub Paunovic tetapi percubaan mereka gagal menemui sasaran.

Tersentak dengan percubaan berbahaya itu, UiTM FC kembali bangkit memperkemaskan corak permainan mereka dan berjaya manfaatkan sepakan percuma yang mudah disempurnakan oleh penyerang berbisa mereka, Zarko Korac, pada minit ke-29 terus menerjah jaring. Keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, skuad kendalian Ismail Zakaria terus mengasak ke kubu Sabah dan mereka hampir memperolehi gol kedua melalui Park Yongjun namun yang hanya berdepan penjaga gol lawan tetapi tersasar jauh.

Beberapa minit kemudian, Sabah akhirnya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil selepas bola terkena salah seorang pemain Uitm FC. Paunovic berjaya menyamakan kedudukan kepada 1-1 selepas  menyempurnakan sepakan penalti dengan tenang.

66365606_2416979558549163_3004764544825294848_n
FOTO: SAFA

Korac sekali lagi mencemaskan pintu gol Sabah menerusi sepakan percumanya pada minit ke-63 tetapi kali ini Rozaimie lebih cemerlang menepis bola keluar. Stadium Uitm Shah Alam kembali gamat dengan sorakan penyokong tambadau apabila Aguinaldo menanduk masuk bola sepakan penjuru Ricco pada minit ke-66 untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Kedudukan itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat, seterusnya mengesahkan kejuaraan Sabah yang kini mengumpul 40 mata dengan mencatat 12 kemenangan dan 4 keputusan seri selepas mengharungi 18 perlawanan.