Pasukan Sabah memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak atau individu yang cuba untuk menjual jersi tiruan kelab itu.

Baca Juga:

Baru-baru ini, tular di laman media sosial dimana ada pihak yang cuba menjual jersi tiruan pasukan itu dan pihak kelab menegaskan mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Berikutan tularnya penjualan jersi tiruan Sabah FC di laman sosial, TINDAKAN UNDANG-UNDANG akan diambil terhadap semua penjual, pengedar, pembekal dan mana-mana pihak yang terlibat mengeluarkan, mengedarkan dan menjual barangan dengan mengunakan nama, logo dan apa jua produk mahupun perkhidmatan berkaitan kelab tanpa persetujuan pihak pengurusan.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 100 (1) (ii), Akta Cap Dagang 2019 dan boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak kelab tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan pihak yang menyalahgunakan nama baik kelab untuk tujuan menghasilkan barang tiruan, mahupun mengeluarkan produk kelab tanpa persetujuan pihak pengurusan,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.

Setakat ini, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super dimana mereka meraih kemenangan dalam dua perlawanan yang dihadapi.

Pada perlawanan pertama, Sabah meraih kemenangan besar ke atas PDRM dengan keputusan 4-0 manakala pada aksi kedua, kelab dari Borneo itu menewaskan Kelantan United dengan keputusan 3-1.

Pada perlawanan seterusnya, The Rhinos bakal berdepan satu lagi kelab dari Borneo iaitu Kuching City yang baru-baru ini tewas kepada Selangor dengan keputusan 5-0.