Malaysian Football League (MFL) yang diketuai oleh Presidennya, Dato’ Ab Ghani Hassan semalam menghadiri Majlis Pelancaran RTM Sebagai Rakan Penyiar Liga Malaysia 2023 di Wisma TV, Angkasapuri.

Baca Juga:

Menerusi kerjasama ini, RTM akan menyiarkan siaran langsung 75 perlawanan melibatkan Perlawanan Sumbangsih, 52 perlawanan Liga Super, 8 perlawanan Piala FA dan 14 perlawanan Piala Malaysia.

Saingan Liga Malaysia 2023 bakal membuka tirai pada 24 Februari ini dengan Perlawanan Sumbangsih bagi merebut trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Lebih menarik, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mengesahkan  aksi Liga Malaysia membabitkan perlawanan di tempat lawan (away) bakal disiarkan secara langsung menerusi skrin besar.

Beliau berkata, perbincangan awal antara kementeriannya dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijalankan agar langkah itu dapat dilaksana bagi memberi ruang kepada peminat bola sepak tanah air menyaksikan perlawanan secara langsung, biarpun tidak dapat hadir secara fizikal ke stadium pihak lawan.

“Kita harap ada sedikit kerjasama dengan KBS untuk membuat siaran secara skrin besar di beberapa tempat strategik membabitkan perlawanan tertentu.

“Saya bersama Menteri KBS, Hannah Yeoh dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman telah membuat pertemuan awal dan kita akan telusuri perkara itu supaya dapat diumumkan kelak mengenai jadual tayangan siaran skrin besar itu,” katanya menerusi laporan Bernama.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah MFL Christopher Raj, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia, Dato’ Seri Haji Mohammad Mentek, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Sports Media & Distributor Sdn Bhd, Dato’ Ahmad Zaharul Annuar yang menyambut baik usaha itu.

Langkah itu turut memberi peluang kepada penyokong yang tinggal jauh dari kawasan stadium untuk menyaksikan perlawanan menerusi skrin besar.

“Ia memberi ruang dan peluang buat peminat untuk merasai seperti mereka berada di stadium, tetapi menerusi skrin besar,” katanya.