Setelah berdepan cabaran penuh berliku bersama TRW Kelantan, Rozaimi Rahamat memutuskan beliau mahu menukar angin dengan bermain futsal dan baru-baru ini beliau dilihat menjalani latihan bersama skuad futsal Johor Darul Ta'zim (JDT).
Menerusi gambar yang dimuat naik oleh JDT, Rozaimi sudah mula menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan dan beliau mungkin bakal diturunkan pada perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia menentang Pahang Rangers pada 9 September ini.
[caption id="attachment_254057" align="alignnone" width="1050"] Rozaimi Rahamat[/caption]
Sebelum ini, Rozaimi bertindak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham dimana beliau mendakwa difitnah oleh Zamsaham yang mengatakan penjaga gol itu memboikot aksi menentang Sabah, sedangkan beliau dihalau dari menyertai pasukan ekoran meminta gaji penuh kepada pihak pengurusan.
“Sebenarnya dia dihalau dari KLIA pasal minta gaji. Dia pergi dengan pasukan dah masuk beg apa semua. Dalam masa yang sama dia minta gaji full tapi tak dapat, hanya dapat RM1,000.
“Selepas kejadian itu dia terus balik rumah. Nasib ada kakak dia di KL (Kuala Lumpur) dengan sehelai sepinggang dia balik JB (Johor Bahru). Beg semua dah ke Sabah. Dahlah waktu itu puasa,” kata isteri Rozaimi Rahamat dipetik dari laporan Majoriti.
Menurut Rose, tindakan ini diambil dimana fitnah yang dilakukan oleh Zamsaham itu telah menjejaskan nama suaminya serta menyebabkan penjaga gol itu menerima tanggapan buruk dari ramai orang khususnya peminat.
“Suami saya dah serahkan pada peguam mengenai fitnah yang dilontarkan oleh Encik Zamsaham kepada suami saya. Fitnah masa sesi soal jawab Encik Zam bersama dengan penyokong TRW Kelantan.
“Sebenarnya suami saya tak nak pun panjangkan benda ini tapi dia dah bagi tempoh untuk membuat permohonan maaf tapi sampai sekarang dia (Zamsaham) masih ego. Itu yang suami saya terpaksa ambil jalan ini untuk bersihkan nama dia,” tambahnya.
Rozaimi juga difahamkan masih memperjuangkan tunggakan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang melanda pemain dan pegawai TRW Kelantan.