Pasukan Perak seolah-olah sudah move on daripada status pasukan yang hanya mampu mencatat keputusan seri dalam saingan Liga Super musim ini apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut setelah menundukkan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 pada Selasa lalu.

Watak utama dalam kemenangan skuad The Boss Gaurus ialah penyerang import mereka iaitu Ronaldo Henrique Silva dimana pemain dari Brazil berusia 28 tahun itu menyumbang dua gol dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Perak, Ipoh.

Ronaldo Enrique
Sumber Gambar: Perak TBG

Sejak dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini disamping seorang lagi pemain dari Brazil, Raianderson Moraes, Ronaldo telah menjaringkan 4 gol dalam saingan Liga dan dua gol lagi dalam saingan Piala FA, lebih tepatnya ketika Perak menewaskan PKNP FC dengan keputusan 2-1 pada perlawanan suku akhir kedua menentang PKNP FC.

Selain mempunyai rekod jaringan yang baik setakat ini, Ronaldo turut mencipta gandingan mantap sama ada diturunkan disamping Raianderson ataupun penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi di bahagian serangan.

Ronaldo Enrique
Sumber Gambar: Perak TBG

Melihat kepada prestasi semasa bekas pemain Yokohama FC dan Sao Bento ini, tidak mustahil pasukan Mehmet Durakovic itu mampu untuk menamatkan saingan Liga Super musim 2019 di kelompok tiga pasukan teratas berbaki 5 lagi perlawanan liga. Dengan syarat Ronaldo perlu meneruskan rentak jaringan beliau pada baki perlawanan tersebut.

Selain itu, Perak bakal menghadapi pasukan Pahang dalam perlawanan separuh akhir Piala FA 2019 pada 22 Jun dan 29 Jun ini. Jadi mereka turut mempunyai peluang untuk memenangi piala yang kali terakhir berada di bumi Perak pada tahun 2004 itu.