Penyerang import KL City, Romel Morales semakin hampir bergelar pemain naturalisasi apabila proses untuk mendaftarkannya sebagai pemain tempatan sedang berjalan.
Baca Juga:
- KL City Rancang Naturalisasikan Romel Morales
- Romel Morales Berusaha Keras Beri Impak Positif Di Posisi Baharu
- Romel Morales Akur Dengan Larangan Pemain Import Ke Luar Negara
Menurut laporan Harian Metro, Morales sudah pun terima kad pengenalan warganegara Malaysia dan pemain kelahiran Colombia itu akan mendapat pasport tempatan dalam masa terdekat.
Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard.
“Pihak pengurusan masih lagi dalam proses untuk mendapatkan taraf kerakyatan buat Morales tetapi tidak pasti jangka masanya, mungkin dalam masa terdekat.
“Namun, apa yang mengecewakan kami adalah kita tidak dapat mendaftarkan Morales sebagai pemain tempatan walaupun dia berjaya dapat kad pengenalan sebelum tarikh pendaftaran kedua Liga Malaysia bermula, 5 Julai depan.
“Itu adalah peraturan yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tetapi saya boleh katakan Morales sedang dalam proses untuk menjadi pemain naturalisasi nanti,” kata Stanley.
Morales yang berusia 26 tahun menyertai KL City pada 2021, selepas meninggalkan Melaka United, tetapi dia telah beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun 2018, dan pernah bermain untuk PKNS FC selama dua musim.
Jika semua proses naturalisasi berjalan lancar, Morales boleh menyertai skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon pada latihan pusat bulan September ini.
Sebelum ini, MFL telah meluluskan permohonan Sri Pahang untuk mendaftarkan Lee Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan.
Kelulusan mana-mana pemain naturalisasi akan dibuat berdasarkan Peraturan Kelayakan yang termaktub dalam Statut Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) iaitu tinggal selama lima tahun berturut-turut di negara tersebut sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Setakat ini, Malaysia sudah mempunyai 7 pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Endrick Dos Santos, Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi, Sergio Aguero, Lee Tuck dan kapten KL City, Paulo Josue.
Pada 17 Ogos 2021, FAM membuat keputusan untuk menghentikan program naturalisasi, namun pasukan Liga Malaysia masih boleh membuat permohonan kepada kerajaan untuk menaturalisasikan pemain masing-masing.