Pemain tengah Manchester City, Rodri mengakui dirinya merasakan aura bahawa kelab tersebut akan mampu untuk meraih kejuaraan ‘treble’ pada musim ini.
Selain daripada memiliki kelebihan tiga gol ke atas Bayern Munich pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Manchester City turun berada di landasan tepat untuk menjulang Piala FA apabila akan bertemu Sheffield United di separuh akhir.
Malah, The Cityzens yang kekurangan satu perlawanan berbanding pendahulu liga, Arsenal hanya dibezakan dengan enam mata dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ia memberikan indikasi jelas yang menunjukkan tiada yang mustahil buat skuad kendalian Pep Guardiola itu bagi merealisasikan impian tersebut.
“Kami tidak menilai apa jua pertandingan dengan pertandingan-pertandingan yang lain. Kami masih mempunyai peluang dalam ketiga-tiganya dan akan berjuang sehingga ke akhirnya untuk meraih kejuaraan.”
“Sasaran kami adalah untuk menghadapi satu perlawanan demi satu perlawanan, kami tidak berfikir lebih daripada perkara tersebut,” ujar Rodri menurut sumber laporan Goal Indonesia.
“Pada ketika ini kami kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris dan ada persaingan yang cukup sengit untuk bergelar juara. Namun, mentaliti kami untuk memenangi kesemuanya.”
“Tentunya akan menjadi sangat istimewa dapat memenangi trofi pertama Liga Juara-Juara. Kami berada di landasan tepat, jika kami dapat terus seperti ini, kami bakal mendapat peluang di penghujung musim nanti,” tambah Rodri lagi.