Pemain pertahanan Arsenal, Rob Holding tanpa berselindung mengakui kelab tersebut tidak perlu untuk menjadi seperti Chelsea tetapi sebaliknya menganggap pasukan jiran dari London itu perlu bertindak sebagai pesaing kompetitif buat The Gunners.

Chelsea yang mengalami penurunan prestasi ketika saingan musim lalu memasuki pertengahan liga telah mengambil langkah drastik dengan membawa masuk Thomas Tuchel bagi menggantikan Frank Lampard.

Keadaan itu jelas membuahkan hasil lumayan selepas Chelsea menamatkan kempen liga di tempat keempat, melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA serta menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Sehubungan dengan itu, menjelang aksi persahabatan melibatkan kedua-dua pasukan di Stadium Emirates pada Ahad ini, Holding melihat Arsenal perlu mengambil kesempatan ‘permusuhan’ dengan Chelsea itu.

“Saya melihat Chelsea sebagai pesaing yang kompetitif buat kami [Arsenal],” ujar Holding menurut laporan Goal.

“Saya tidak melihat mereka sebagai sebuah pasukan yang perlu kami cita-citakan supaya menjadi seperti mereka dan saya tidak berfikir mereka juga seperti itu. Terdapat rasa hormat diantara kami dan sejarah di perlawanan akhir Piala FA juga menemukan dua pasukan.”

”Saya tidak berfikir sedemikian hanya kerana mereka telah memenangi Liga Juara-Juara Eropah, kami perlu lebih menyerupai Chelsea. Keputusan dan kedudukan kami dalam saingan liga perlu diperbaiki, sudah tentu, tetapi apabila kami bertembung sesama sendiri ia satu perlawanan yang kompetitif.”

“Kami perlu meletakkan sasaran untuk kembali beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah. Dengan tiadanya aksi Eropah pada musim ini, kami tiada halangan dan perlu untuk memberikan fokus dalam Liga Perdana Inggeris.”

“Saya merasakan Liverpool juga melakukan perkara sama beberapa tahun lalu, dan begitu juga dengan Chelsea apabila mereka memenangi liga ketika musim pertama dibimbing Antonio Conte,” tambah Rob Holding lagi.

Baca artikel lain mengenai Arsenal dan Chelsea:

Aouar Menuju Ke Emirates, Arsenal Sedia Lepasi Angka £100 Juta Dalam Perpindahan Kali Ini

Arsenal & Penaja Buat Mesyuarat Tergempar Kerana Ciapan Elneny Yang Menyokong Palestine

Tuchel Mahu Chelsea Dapatkan Declan Rice Yang Diletakkan Harga £100 Juta Oleh West Ham

Sumber