Kerajaan negeri Terengganu akan menerima dana pembiayaan untuk membaiki padang bola sepak di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak tahun hadapan.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Bernama semalam. Beliau turut memberitahu bahawa apabila kerja-kerja pembaikan itu siap nanti akan dapat menyelesaikan masalah venue pertandingan bola sepak yang dapat menampung kapasiti penonton yang lebih besar.
Stadium Sultan Mizan yang memiliki kapaiti 55,000 orang pada satu-satu masa itu mampu untuk menyediakan ruang yang lebih selesa kepada penonton yang hadir berbanding Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang hanya mempunyai kapasiti 10,000 penonton.
Perkara tersebut dijelaskan oleh YB Wan Sukairi ketika dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu setelah ditanya oleh bekas EXCO Belia & Sukan Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat.
Selain dari memiliki kapasiti yang jauh lebih besar, pelbagai fasiliti lain juga jauh lebih lebih baik seperti ruang parkir kenderaan yang lebih besar yang mampu mengelakkan kesesakan lalu lintas, tempat duduk berkerusi yang lebih selesa, kemudahan yang lebih sesuai untuk para pemain dan juga bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud serta hotel yang boleh menjimatkan kos logistik pasukan pelawat.