Ketika berbicara penswastaan kelab, pelbagai model pemilikan digebangkan oleh ramai pihak. Antara paling banyak disebut adalah model pemilikan kepada penyokong menjurus kepada ala pemilikan 50+1 di Jerman.
Ayuh kita lihat di Schalke 04, kelab yang mempunyai 155,000 ahli kelab yang membayar €50 setahun. Ini memberikan pendapatan kepada kelab sekitar €7.75 juta secara langsung, namun sebagai ahli kelab, kelab pula harus memberikan keistimewaan seperti diskaun di Fan-Shop, diskaun tiket perlawanan dan pelbagai lagi yang menipiskan pendapatan tersebut.
Kita lihat pula kepada FC Bayern, mempunyai 290,000 ahli dengan setiap seorang dewasa membayar sekitar €60 memberikan pendapatan sekitar €17.5 juta setahun.
Namun, dengan pengurusan yang baik dan polisi kelab yang mampu mencari penaja dan stadium mereka yang sedia penuh (yang boleh meyakinkan penaja), kemudian pendapatan yang seimbang dari hak penyiaran dan sebagainya, menjadikan kelab sustainable untuk bertahun tahun lamanya.
Tapi relevankah dengan bolasepak Malaysia untuk pemilikan penyokong 50+1? Hanya beberapa pasukan yang mempunyai fanbase besar seperti Selangor, JDT, Pahang, Kedah & Terengganu yang membolehkan pemilikan penyokong ini dijalankan namun secara berhati-hati dan dirancang sebaiknya.
Pengurusan kelab juga mesti sedia dalam memberi penyokong peluang dalam turut sama membuat keputusan. Semua ahli dibolehkan hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan turut memberi pendapat dalam beberapa isu kelab. Penajaan pula boleh dibuat terus untuk 2 atau 3 tahun berbanding setiap tahun harus mencari semula penaja baru.
Bagi ahli kelab pula, tanggungjawab mereka adalah menyokong ketika kelab di atas mahupun di bawah. Tiada alasan bagi penyokong untuk mengosongkan stadium ketika kelab dalam keadaan buruk kerana ini akan memberikan akibat buruk buat pengurusan dalam mencari penaja.
Terakhir, dalam kita ghairah menerima penswastaan kelab sebagai sebahagian bolasepak kita, kita harus berhati-hati supaya PB Negeri tidak menipu dengan menyalurkan dana dari kerajaan secara langsung kepada kelab swasta tersebut.
Relevan atau tidak model ini, bolehlah diterapkan terlebih dahulu untuk melihat sejauh mana keberhasilan, jika diambil contoh penyokong Selangor pernah sanggup beratur membayar untuk mendapatkan Red Giants Teamcard (bukan untuk memiliki kelab).
P/S: Tulisan ini hanyalah pendapat peribadi saya dan saya menerima segala komen murni secara terbuka untuk dibahaskan bersama.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
Pasukan Tidak Dibenarkan Bertanding Jika Tunggakan Gaji Belum Selesai
Bekas Pemain Pertahanan Terengganu FC Disahkan Positif COVID-19