Real Madrid secara rasmi memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak kapten yang bermain sebagai bek kanan, Dani Carvajal.
Pemain 34 tahun itu akan menamatkan era dan perjalanan panjangnya bersama Real Madrid pada akhir musim ini.
Perkembangan ini bukan sesuatu yang mengejutkan sepenuhnya. Dalam beberapa musim kebelakangan ini, Carvajal sering berdepan masalah kecederaan yang menjejaskan konsistensinya.
Pada masa sama, perubahan dalam struktur pasukan serta kehadiran pemain baharu, Trent Alexander Arnold telah mengehadkan peranannya dalam kesebelasan utama.
Real Madrid kini jelas berada dalam fasa peralihan generasi, dan keputusan untuk tidak menyambung kontraknya dilihat selari dengan hala tuju tersebut.
Apa yang membuatkan situasi ini lebih menyentuh adalah kemungkinan bahawa Carvajal mungkin sudah pun memainkan perlawanan terakhirnya tanpa disedari.
Kecederaan terbaru yang dialaminya berpotensi menutup peluang untuk beliau kembali beraksi sebelum musim berakhir.
Namun kelab akan memastikan dia akan diraikan dalam satu sambutan khas pada akhir musim ini di Bernabeu sebagai mengenang jasanya.
Sejak kembali dari Bayer Leverkusen pada tahun 2013, Carvajal berkembang menjadi antara bek kanan terbaik dunia.
Dia bukan sahaja terkenal dengan disiplin bertahan, tetapi juga sumbangan ofensif serta mentaliti juara yang menjadi identiti Real Madrid sepanjang era dominasi Eropah mereka.
Sepanjang lebih satu dekad, Carvajal memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab memenangi pelbagai trofi termasuk enam Liga Juara-Juara UEFA.
Perpisahan ini bukan sekadar kehilangan seorang pemain, tetapi simbol kepada berakhirnya satu generasi emas Real Madrid.
Carvajal mungkin tidak lagi berada di tahap fizikal terbaik, namun legasinya kekal utuh sebagai antara pertahanan paling berjaya dalam sejarah kelab.
Kini, tumpuan beralih kepada langkah seterusnya buat Real Madrid dengan projek masa depan mereka, dan Carvajal yang bakal membuka lembaran baharu selepas meninggalkan kelab yang telah membentuk identitinya sebagai seorang legenda.