Kelab Arab Saudi, Al Nassr mengesahkan mereka sudah menandatangani penyerang Bayern Munich, Sadio Mane walaupun bintang Senegal itu masih mempunyai baki kontrak selama 2 tahun dengan Bayern Munich.

Baca Juga:

Kedua-dua kelab mengumumkan perpindahan membabitkan bekas bintang Liverpool itu yang dianggarkan oleh media Jerman sekitar €30 juta (RM149 juta) dengan perjanjian tiga tahun dengan gaji tahunan untuk Mane sebanyak €40 juta (RM199 juta) ditambah €10 juta (RM49 juta) bonus berdasarkan keputusan.

“Saya sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripada anda semua, saya tidak sabar berjumpa dengan anda,” kata Mane dalam video kepada penyokong Al Nassr di akaun media sosialnya.

Dengan kehadiran Mane, Al Nassr kini memiliki gandingan serangan yang cukup mengerunkan dalam Liga Arab Saudi bersama Cristiano Ronaldo.

Ianya sekaligus memenuhi impian peminat dari eropah untuk melihat kedua-dua pemain ini beraksi walaupun kelibat mereka tiada lagi dalam saingan UEFA Champions League (UCL).

Pemain terbaik Afrika sebanyak dua kali itu adalah pemain berprofil tinggi terkini yang menyertai liga Saudi.

Sebelum ini, bintang-bintang Liga Perdana Inggeris lain yang sudah melengkapkan perpindahan ke Arab Saudi iaitu Riyad Mahrez, Jordan Henderson, N’Golo Kante, Ruben Neves, Edouard Mendy dan Allan Saint-Maximin.

Sadio Mane pada awalnya tidak berminat untuk menyertai kelab Arab Saudi itu. Namun selepas beberapa kali usaha Al Nassr cuba berunding dengan Mane, akhirnya beliau dan ejen pemain itu setuju untuk mendengar tawaran daripada kelab tersebut.

Al Nassr berjumpa dengan ejen Mane di Tokyo dan dilaporkan mereka akhirnya mencapai kesepakatan. Bayern sudah lama setuju dengan harga €37 juta yang ditawarkan oleh Al Nassr untuk mendapatkan Sadio Mane.

Al Nassr benar benar optimis bahawa Mane akan membentuk gandingan berbisa bersama Cristiano Ronaldo di kelab itu.

Nama Sadio Mane malah disertakan dalam senarai awal 35 pemain yang akan beraksi dalam Liga Juara Juara Arab.