Sentuhan dari Thailand bakal dinikmati oleh skuad futsal kebangsaan selepas ini apabila Rakphol Sainetngam telah diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Skuad Futsal Malaysia Bakal Dapat Ketua Jurulatih Baharu
- Jawatan Ketua Jurulatih Malaysia Bakal Diisi Calon Dari Negara Gergasi Futsal Dunia
- Ingin Setaraf Dengan Futsal Thailand, Ini Perkara Perlu Malaysia Contohi
Ia juga sekali gus menyaksikan skuad futsal negara akan kembali dibimbing oleh jurulatih luar negara selepas Chiew Chun Yong menggalas tanggungjawab tersebut bermula 15 Ogos 2016.
Kali terakhir skuad futsal negara dibimbing oleh jurulatih import adalah Marcelo Serpa Coelho dari Brazil pada 2015.
Perkembangan terkini mengenai pelantikan itu telah disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi pengumuman rasmi di laman sosial rasmi badan induk bola sepak negara itu.
Rakphol hadir ke Malaysia dengan reputasi yang cukup cemerlang berbekalkan pengalaman luasnya selama 14 tahun bergelar penolong serta ketua jurulatih kelab gergasi Thailand, Bluewave Chonburi.
Memang tidak perlu untuk berbicara panjang tentang Bluewave Chonburi yang telah memenangi 11 trofi Liga Futsal Thailand serta dua kali pernah menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFC (2013 & 2017) dan Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2019.
Pencapaian beliau ketika membimbing Black Steel Papua juga tidak kurang hebatnya apabila membimbing kelab tersebut muncul juara Liga Futsal Profesional Indonesia 2020 serta menjulang trofi Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023.
Malah, pengendali berusia 44 tahun itu juga turut pernah membimbing skuad kebangsaan Thailand sehingga mara ke pusingan 16 saingan Piala Dunia Futsal 2021 di Lithuania.
Sehubungan dengan itu, kepakaran yang dimiliki Rakphol Sainetngam atau lebih mesra dengan panggilan ‘Coach Mee’ diharapkan mampu untuk menjelmakan sinar baharu buat skuad futsal Malaysia dan saingan liga futsal tanah air.