Perak mungkin sudah menemui jawapan kepada masalah penyudah yang dihadapi setakat ini apabila mengumumkan kehadiran penyerang import, Luka Milunovic menyertai kelab tersebut.
Pengumuman terkini kedatangan pemain kelahiran Serbia itu disahkan menerusi laman Facebook rasmi kelab tersebut, sebentar tadi.
Liga Malaysia nyata bukan asing buat penyerang berusia 30 tahun itu dimana beliau sebelum ini pernah menyarung jersi Melaka United dan Sabah dalam menghadapi kempen Liga Super Malaysia pada musim 2019.
Pada fasa tersebut, beliau berjaya meledakkan 10 gol pada 21 penampilan sepanjang beraksi di Malaysia.
Selepas meninggalkan Sabah, beliau berkelana ke Hungary serta Greece dan kemudiannya kembali ke tanah airnya untuk beraksi dengan FK Radnicki.
Mengulas mengenai kedatangan ke Perak, Luka Milunovic mengakui dirinya sudah bersedia untuk mengepalai jentera serangan pasukan.
‘Perak FC adalah kuasa besar dalam bola sepak Malaysia, penuh dengan tradisi & legasi,’’ ujar beliau menurut kenyataannya di laman Facebook Perak FC.
“Menjadi satu penghormatan untuk bermain di kelab ini. Saya telah bermain dalam liga ini pada tahun 2019 dan saya percaya liga ini telah revolusi menjadi lebih kompetitif.’’
“Saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran. Ayuh jadikan Perak kembali hebat,’’ tambah beliau lagi.
Kehadiran Luka Milunovic dilihat tepat pada masanya apabila penyerang import dari Nigeria, Christian Obiozor gagal memberikan sumbangan berkesan.
Walaupun seorang lagi pemain import, Seo Seonung menjaringkan tiga gol dalam kempen liga, beliau kemudiannya terpaksa berehat lama ekoran kecederaan dialaminya.
Selepas mengharungi 16 perlawanan, Perak hanya mampu menjaringkan 11 gol dan Luka Milunovic mampu mengubah keadaan menjadi lebih baik buat skuad kendalian Yusri Che Lah itu.