Pertahanan berpengalaman Kuching City FC, Rames Lai Ban Huat berhasrat mahu merealisasikan pengendali pasukan, Irfan Bakti, layak ke Liga Super pada musim 2023 sebagai hadiah persaraan sebelum beliau melepaskan jawatan pada penghujung musim ini.

Tambah Rames, dia mahu memberikan kenangan manis buat Irfan kerana sudi menjadikan Kuching City sebagai destinasi terakhirnya sebelum mengakhiri kariernya selaku jurulatih.

Dia berasakan Kuching City berpeluang melakar keputusan lebih positif berbanding musim lalu dengan kehadiran bakat-bakat muda yang memberikan banyak pilihan buat Irfan dalam merencana strategi pasukan.

“ Saya akui sedih apabila mengetahui hasrat beliau untuk bersara selepas musim 2022 berakhir dan sememangnya itu memang sedikit mengejutkan kerana hanya ketahui dari pembacaan di media sosial.

Irfan Bakti mahu bersara sebaik sahaja tamat musim 2022. Kredit Foto: Kuching City FC

“ Beliau sendiri telah menyatakan hasrat untuk membawa pasukan ke Liga Super sebelum bersara dan saya rasa ini satu kesempatan terbaik buat kami untuk berikan hadiah persaraan buat Irfan.

“ Banyak perkara positif berlaku dalam pasukan sejak kehadiran beliau dan boleh dilihat Kuching City berjaya konsisten dengan menduduki tempat kelima di Liga Premier.

“ Melihat kepada persiapan pasukan dan tambahan pemain yang hadir, saya rasa hasrat itu boleh dicapai malah saya cukup gembira melihat komitmen pemain-pemain muda yang baharu diserap dari skuad Piala Presiden, ” katanya.

Antara pemain tempatan baharu yang ditandatangani Kuching City musim ini ialah Hidhir Idris (pinjaman dari Kedah Darul Aman FC), Shaiful Wazizi (Sarawak United FC) dan Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman (Penang FC) selain Yuki Tanigawa dan Abu Kamara.

Rames pernah bergandingan dengan Irfan selama empat musim di Telekom Melaka di awal pembabitan kariernya sebagai pemain pada musim 2004 hingga 2007.

Biarpun dikenali sebagai mempunyai perwatakan tegas, Irfan merupakan seorang jurulatih yang amat disenangi dalam kebanyakan pemain serta peminat.

Dalam pada itu, Rames yang bakal menginjak umur 42 tahun serta muncul pemain tempatan tertua mengakui dia tidak ada masalah untuk terus beraksi pada musim ini.

Pengalaman luas Rames Lai masih ditagih Kuching City FC.

Berdasarkan 19 penampilan di Liga Premier dan 5 di Piala Malaysia pada musim lalu, apa yang dinyatakan Rames bukan satu omongan kosong yang dia boleh bermain untuk tempoh beberapa musim lagi.

“ Umur hanyalah satu angka sahaja bagi saya, semuanya bergantung kepada tahap mental kita sama ada kita boleh bermain lagi atau sebaliknya.

“ Biarlah orang hendak kata apa pun sama ada kuda tua atau apa jua gelaran, saya tidak kisah kerana saya tahu sejauh mana kemampuan diri ini untuk beraksi.

“ Saya akan terus bermain selagi khidmat masih diperlukan dan soal persaraan belum terfikir di benak fikiran ini, ” katanya.