Malam ini skuad Harimau Malaya akan menentang pasukan di ranking FIFA 146, Hong Kong untuk aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Ini adalah perlawanan persahabatan kedua yang dihadapi oleh skuad kendalian Kim Pan Gon selepas mereka menewaskan Turkmenistan 1-0 pada hari khamis lepas.

Kemenangan untuk perlawanan malam ini sangat penting kerana ia memberikan pulangan mata ranking FIFA sekaligus menyaksikan skuad Harimau Malaya berpeluang menghuni dalam kelompok ranking 130 dunia.

Kim Pan Gon juga dijangka mengekalkan formasi yang sama ketika digunakan dalam perlawanan menentang Turkmenistan.

Berikut ialah ramalan kesebelasan utama skuad Harimau Malaya menentang Hong Kong:

(Formasi: 4-3-3)

Ketiadaan Arif Aiman dan Endrick Dos Santos yang disisihkan akibat kecederaan bermakna Kim Pan Gon mempunyai pilihan 25 pemain untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Di posisi penjaga gol, Syihan Hazmi bakal menjadi pilihan utama berdasarkan prestasi beliau yang cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya ketika aksi bertemu Turkmenistan.

Manakala Shahrul Saad dijangka mengetuai bahagian pertahanan berganding dengan pemain berpengalaman, Dion Cools. Mereka juga akan dibantu oleh Matthew Davies dan Corbin Ong di bahagian kanan dan kiri.

Berdasarkan prestasi ketika aksi menentang Turkmenistan, Kim Pan Gon juga kemungkinan akan menurunkan pemain naturalisasi, Paulo Josue di bahagian tengah berganding dengan Brendan Gan dan Azam Azih.

Faisal Halim yang menyerlah ketika aksi bertemu Turkmenistan berpeluang mengisi posisi sayap kanan bersama Akhyar Rashid di posisi sayap kiri. Manakala khidmat Darren Lok diperlukan sekali lagi sebagai penyerang utama..

Ayuh sama-sama kita menyokong skuad Harimau Malaya dengan menonton perlawanan antarabangsa yang disiarkan secara langsung di TV9. Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!