Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai nama 20 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih futsal kebangsaan, Rakphol Sainetngam bagi menyertai kem latihan pusat bermula Isnin, 11 September 2023.

Kem latihan tersebut adalah sebagai persiapan menghadapi saingan Kumpulan G, Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan dari 7 hingga 11 Oktober 2023.

Rakphol dari Thailand yang diumum sebagai ketua jurulatih futsal kebangsaan pada 7 Ogos 2023 akan dibantu oleh bekas pemain futsal kebangsaan, Addie Azwan Zainal yang telah pun dilantik sebagai penolong ketua jurulatih futsal kebangsaan.

Dalam senarai tersebut, Rakphol telah memilih 8 pemain daripada skuad juara Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL), Pahang Rangers dan 6 pemain daripada pasukan JDT.

Antara muka baharu yang dipanggil kali ini termasuklah penjaga gol Pahang Rangers FC, Zainulzahin Sinuan dan penjaga gol PFA Odin Sarawak yang dipinjamkan ke pasukan Pulau Pinang, Faezwan Ashwandie Ahmad serta pemain-pemain lain seperti Harith Na’im Nasir, Mahadir Harahap Khairuddin, Hamdin Zarif Mahmun, Danial Dain, Faris Johan, Syahir Iqbal Khan, Alif Izzat Rosdi dan Amirul Khairuddin.

Skuad futsal kebangsaan akan menjalani latihan pusat di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya dari 11 hingga 23 September 2023 sebelum mereka ke Bangkok, Thailand dari 24 hingga 30 September 2023 bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di sana.

Seterusnya mereka akan terbang pulang ke tanah air untuk menyambung kem latihan pusat di Kelana Jaya dan berlepas pula ke Uzbekistan pada 5 Oktober 2023.

Bagi perlawanan kelayakan Kumpulan G itu nanti, Malaysia dijadual bertemu Iraq bagi perlawanan pertama pada Sabtu, 7 Oktober 2023, diikuti aksi berikutnya bertemu tuan rumah, Uzbekistan pada Isnin, 9 Oktober 2023 dan Kemboja pada Rabu, 11 Oktober 2023.

Sejumlah 16 pasukan iaitu 8 pasukan juara kumpulan saingan kelayakan (Kumpulan A-H), 7 pasukan tempat kedua terbaik serta tuan rumah, Thailand akan layak ke pusingan akhir Piala Asia Futsal 2024 di Thailand, 17 hingga 28 April 2024.

Sebagai rekod pencapaian di sepanjang 16 edisi sebelum ini, skuad futsal kebangsaan berjaya layak sebanyak 12 kali ke pusingan akhir, namun pada kesemua edisi berkenaan, hanya beraksi di peringkat Kumpulan dan belum pernah berjaya mara ke suku akhir.