Rajpracha FC mengikuti jejak langkah Ratchaburi Mitr Phol apabila kelab saingan Thai League 2 (T2) itu bertindak membawa masuk penyanyi terkenal tempatan sebagai pemain baharu bagi menghadapi musim 2021/22.

Penyanyi yang dimaksudkan ialah Kong Huayrai atau nama sebenarnya Akkharadet Yodjumpa dimana beliau turut pernah membintangi dua buah filem pada tahun 2017 dan 2018.

Berasal dari Sakhon Nakhon yang mengambil masa kira-kira lebih sembilan jam perjalanan darat untuk ke Bangkok, Akkharadet merupakan pemain yang beraksi di posisi tengah dan akan memakai jersi bernombor 30.

Menurut perkongsian pengamal media sukan di Thailand, Akkharadet dipilih menyertai Rajpracha FC bukan kerana popularitinya sebagai selebriti tetapi beliau telah mempamerkan aksi meyakinkan pada perlawanan persahabatan.

Meskipun hanya bergelar pemain profesional pada usianya yang sudah mencecah 34 tahun, Akkharadet tidak melihat itu sebagai masalah besar buatnya untuk membuktikan kemampuan diri beliau ketika beraksi.

“Pada usia saya untuk karier bola sepak ini, saya seperti bayi yang baharu sahaja dilahirkan. Seperti bintang baharu. Saya sangat gembira untuk berada di padang.”

“Saya melihat ramai pemain bola sepak yang sudah berusia dan masih beraksi. Ia membuatkan saya terfikir umur itu hanya bersandarkan pada angka,” ujar Akkharadet menurut kenyataannya di laman Facebook rasmi Rajpracha FC.

“Selagi kita boleh berlari dan bermain, saya merasakan usia bukanlah satu masalah. Saya mahu memberikan segalanya buat para penyokong Rajpracha. Saya mahu bersorak untuk pasukan ini.”

“Secara peribadinya, saya juga mahu mendorong anak muda yang mempunyai cita-cita untuk bergelar pemain bola sepak profesional. Cuba untuk mencapai cita-cita anda sendiri.”

“[Hasilnya] baik atau buruk tidak menjadi masalah selagi anda bekerja keras dan mempunyai disiplin. Satu hari nanti anda akan berjaya kerana bola sepak ini dimainkan sebagai satu pasukan,” tambah Akkharadet lagi.

Kehadiran Akkharadet ini juga mampu menarik minat para penyokong di Thailand kerana salah sebuah lagu yang dinyanyikan beliau di Youtube telah mendapat lebih 100 juta tontonan.

Saingan T2 2021/22 bakal membuka tirainya pada 4 September nanti dengan penampilan 18 pasukan.

 

Sumber