Penyerang skuad kebangsaan, R.Kogileswaran bakal kembali ke saingan Liga Malaysia selepas dikhabarkan menamatkan kontraknya bersama kelab Korea Selatan, Chungbuk Cheongju.

Baca Juga:

Menurut perkongsian waartawan The Star, T.Avineshwaran, Kogi dan Chungbuk telah mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak namun tidak diketahui punca keputusan tersebut dibuat.

Setelah menamatkan kontrak bersama Chungbuk, R.Kogileswaran bakal kembali ke saingan Liga Malaysia dan Penang menjadi pasukan yang dikaitkan dengan pemain itu.

Kogi menyertai Chungbuk Cheongju yang beraksi di divisyen dua pada Januari tahun ini sekaligus menjadikan beliau sebagai pemain pertama dari Malaysia yang menyertai kelab Korea Selatan.

Bekas pemain Sri Pahang itu menyarung jersi nombor 70 dan peminat memberikan sambutan hangat kepada Kogi dimana ada segelintir dari mereka menunggu Kogi di luar stadium bagi mendapatkan tandatangan pemain itu selepas diturunkan dalam kesebelasan utama ketika saingan Piala FA Liga Korea.

Akan tetapi, aksi ketika Piala FA Liga Korea menjadi satu-satunya perlawanan yang melibatkan Kogi sepanjang menyarung jersi Chungbuk dan jurulatih kelab itu, Choi Yun-Kyum menjelaskan beliau mahu memberi lebih banyak masa kepada Kogileswaran untuk menyesuaikan diri dan memahami taktikal pasukan sebelum turun beraksi dalam perlawanan sebenar.

“Kogi telah kehilangan banyak berat dan lemak badan tetapi kepantasannya makin merosot. Kalau dia diturunkan sekarang menentang pasukan kuat, beliau akan bergelut dan memberi kesukaran kepada rakan sepasukan.

“Oleh itu, saya membuat keputusan untuk meletakkannya dalam pasukan supaya dia lebih beradaptasi sehingga kelab mencapai keputusan yang lebih memuaskan,” jelas Choi.

Namun, kelibat Kogi tidak lagi dilihat bersama pasukan dan setelah enam bulan pemain itu memutuskan untuk menamatkan kontrak dan kembali ke Malaysia.