Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam telah memperkenalkan bola rasmi yang akan digunakan dalam pertandingan domestik anjuran badan induk itu untuk musim hadapan.

Baca Juga:

Jenama antarabangsa terkenal dari Jerman, Puma menerusi Active Sports telah hadir sebagai penaja kepada empat pertandingan anjuran FAM iaitu Piala Belia, Piala Presiden, Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) bagi musim 2023.

Bola Puma Orbita FAM 2 akan digunakan pada semua pertandingan tersebut.

Menurut Datuk Haji Hamidin, kehadiran Active Sports Puma di dalam arena pembangunan bola sepak belia dan wanita bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pertandingan-pertandingan anjuran FAM tetapi dapat juga menarik anak-anak muda serta wanita untuk bermain bola sepak.

“Menerusi kerjasama ini, sudah tentu ia dapat mengangkat kualiti pembangunan bola sepak belia dan wanita negara selain dapat menarik lagi penaja-penaja antarabangsa untuk berkolaborasi bersama FAM.

“Selain itu, ini juga menunjukkan pengiktirafan tertinggi syarikat-syarikat swasta seperti Puma dan Active Sports terhadap pembangunan bola sepak Malaysia yang pasti dapat membantu FAM dalam mengenal pasti bakat-bakat baharu untuk mewakili negara pada masa hadapan.

“Terima kasih sekali lagi kepada Puma dan Active Sports atas kesudian untuk menjadi sebahagian daripada FAM dan semoga jalinan kerjasama ini dapat memberi motivasi kepada pemain-pemain belia dan wanita di luar sana,” kata Datuk Haji Hamidin.

Sementara itu, Steven Tan, Pengasas Active Sports Centre turut menzahirkan rasa teruja untuk memulakan kolaborasi bersama FAM pada musim hadapan.

“Di Puma, kami melihat kolaborasi sebagai peluang keemasan untuk memikat lebih ramai anak muda di Malaysia selain mahu mempromosikan sukan bola sepak dalam kalangan wanita.

“Selain itu, saya berharap kerjasama ini dapat memberikan motivasi yang tinggi kepada pasukan-pasukan bertanding musim hadapan,” ujar Steven.