Kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) terpaksa menunggu hingga minit akhir perlawanan untuk mendapatkan tiga mata selepas menewaskan Strasbourg, 2-1 awal pagi tadi.

Baca Juga:

Bintang terkemuka, Kylian Mbappe menyempurnakan penalti dalam masa kecederaan untuk gol kedua manakala Neymar dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Mbappe mengakui dia cuba melupakan episod duka di final Piala Dunia, di mana dia meledak hatrik tetapi tewas pada penentuan penalti kepada Argentina.

Neymar pula dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua kerana cuba mendapatkan penalti dengan simulasi yang dapat dikesan pengadil.

Kapten Marquinhos meletakkan pelawat di depan menerusi tandukan tetapi pertahanan Brazil itu menjaringkan gol sendiri pada minit ke-51 untuk kembali menyamakan kedudukan.

Neymar yang masih dibayangi kekecewaan tersingkir di suku akhir Piala Dunia bersama Brazil, menerima kad kuning pertama kerana mengasari pemain Strasbourg, dan dia dilayangkan kad kuning kedua serta diarah keluar padang selepas merebahkan diri untuk mendapatkan penalti.

Bagaimanapun Mbappe berjaya mendapatkan penalti dalam masa kecederaan dan menyempurnakannya untuk gol kemenangan pada minit ke-96.

“Saya rasa saya tidak akan dapat melupakannya (Piala Dunia). Namun seperti yang saya katakan kepada rakan sepasukan, tidak ada sebab mengapa kelab perlu menerima akibat di atas kegagalan pasukan kebangsaan, ia dua situasi berbeza,” kata Mbappe.

Bintang Argentina, Lionel Messi masih belum kembali bersama pasukan selepas kejayaan di Piala Dunia. Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi yakin dapat memeterai kontrak lanjutan Messi selepas cemerlang bersama negaranya.

Selain kontrak lanjutan Messi, Nasser turut mengintai peluang untuk membawa masuk penyerang Manchester United, Marcus Rashford yang akan tamat kontrak pada penghujung musim ini.

Kemenangan itu meletakkan PSG kekal di tangga teratas Ligue 1 dengan lapan mata di depan pencabar terdekat, Lens.