Presiden PSG, Nasser Al Khelaifi telah mengingatkan Kylian Mbappe bahawa pemain itu akan dijual serta merta jika tidak mahu lanjutkan kontrak baharu.

Sebelum ini pendirian itu sudah disuarakan Nasser Al Khelaifi sebaik sahaja Mbappe menyatakan dia tidak mahu mengaktifkan lanjutan semusim pada kontraknya yang wajib 2 tahun sehingga Jun 2024.

Bercakap kepada wartawan Nasser Al Khelaifi berkata: “Kylian Mbappe memberitahu kami dia tak akan pergi secara percuma. Kami pun tidak mahu pemain terbaik kami pergi secara percuma.”

“Saya harap dia akan mengotakan janjinya.”

“Pendirian kami jelas, Mbappe harus membuat pilihan, sama ada melanjutkan kontrak atau dia akan dijual.”

“Kami memberikannya masa untuk melanjutkan kontrak dalam masa dua minggu ini.”

“Tiada individu yang lebih besar daripada kelab, bukan pemain, bukan saya, atau sesiapa sahaja.”

Agak ironi kerana sebelum ini PSG memberikan kontrak yang menjadikan Mbappe lebih berkuasa daripada mana mana pemain lain. Dan klausa khas dalam kontraknya menjadikannya lebih besar daripada kelab itu.

Misalnya dalam lanjutan kontrak khas setahun, Mbappe boleh menekan butang aktifkan lanjutan pada sebelah pihak tanpa memerlukan persetujuan PSG.

Al Khelaifi turut menegaskan bahawa PSG masih berusaha untuk mengekalkan Kylian Mbappe dan berharap pemain itu akan setuju untuk terus menjadi bintang utama dalam projek mereka.

PSG mengumumkan pengurus baharu mereka, Luis Enrique dalam sidang media yang sama.

Pengurus asal Sepanyol itu enggan mengulas tentang situasi Mbappe. Dan menyatakan bahawa dia berpegang kepada kerahsiaan dalam perkara itu.

Kerana dia baru sahaja tiba di PSG. Pastinya dia berminat untuk melihat Mbappe terus kekal dan lanjutkan kontrak di Parc Des Princes.