Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee memuji anak buahnya yang mempamerkan aksi meyakinkan sehingga berjaya membelasah Kelantan 6-1 pada aksi kesembilan Liga Super Malaysia 2023, malam tadi.
Baca Juga:
- Ong Kim Swee Akui Tiga Aksi Berturut-Turut Di Gelanggang Lawan Ganggu Momentum Sabah
- Peminat Sabah Anggap Pengadil Jadi Punca Gagal Raih Kemenangan
- Sabah vs Kelantan United: Skuad Ong Kim Swee Di Puncak Liga
Beraksi di Stadium Likas, barisan pemain Sabah yang diketuai Baddrol Bakhtiar tampil dengan cukup bertenaga terutamanya pada separuh masa kedua.
Daniel Ting memberikan kelebihan 2-0 sehingga rehat babak pertama menerusi jaringan yang dihasilkannya pada minit ke-4 dan 11.
Pemain import Kelantan, Miguel Angel Garrido Cifuentes merapatkan jurang sebaik sahaja aksi separuh masa kedua bersambung tetapi Sabah tidak menunggu lama untuk mematikan api perjuangan pasukan pelawat.
Ia jelas dibuktikan apabila Dominic Tan kembali memberikan kelebihan dua gol pada minit ke-48 dan giliran Baddrol, Stuart Wilkins dan Telmo Ferreira Castanheira meletakkan nama selaku penjaring sekali gus mengesahkan kemenangan besar tersebut.
“Kita menunjukkan satu prestasi yang amat baik dimana kita dapat menyempurnakan peluang-peluang yang kita ada,” ujar Kim Swee bercakap kepada Astro Arena.
“Jadi ini penting apabila kita bermain dengan mana-mana pasukan sekalipun jika kita mampu menyempurnakan peluang-peluang yang kita ada saya percaya kita boleh bermain dengan lebih baik.”
“Tetapi hari ini mereka membuktikan mereka mampu menyaingi atau mendapatkan gol yang begitu baik untuk kita meneruskan saingan liga selepas ini.”
Kemenangan itu menyaksikan Sabah pada ketika ini menghuni tangga keempat dengan 17 mata hasil lima kemenangan, dua keputusan seri dan dua kekalahan.