Semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Damian Yeo Shen Li telah melancarkan kutipan ‘crowdfunding’ untuk para peminat yang mahu memberikan sumbangan bagi membantu memperkasakan kewangan badan induk itu.
Damian membuat pengumuman tersebut melalui laman Facebook miliknya dimana beliau memuat naik satu video yang memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu menyanyi sambil bermain alat muzik bersama anak perempuannya.
Bagaimanapun, tindakan beliau itu telah mengundang pelbagai kecaman dan reaksi negatif daripada penyokong setia skuad Hang Tuah dimana mereka mempersoalkan kredibilitinya sebagai presiden MUSA.
Tinjauan di media sosial mendapati sebahagian peminat Melaka kecewa kerana mereka bimbang episod hitam sebagaimana yang terjadi pada tahun 2014 lalu berulang lagi pada musim depan.
Namun, Damian menjelaskan tindakannya itu adalah untuk membantu melangsaikan hutang terdahulu yang dilakukan oleh pengurusan sebelum ini bukan dana menghadapi Liga Malaysia musim 2020.
“Ianya cuma ucapan Krismas dan mencari sedikit sumbangan. Saya tidak memaksa anda tetapi saya harap anda boleh menyumbang.
“Beban yang ditanggung oleh saya bukan hutang saya tetapi hutang yang terdahulu dan perlu dibayar. Sekiranya tidak dibayar maka ianya akan mengakibatkan isu lesen liga super,” jelasnya seperti dipetik dalam laman facebooknya.
When I read this, it is so misunderstood.
My crowdfunding is to settle old debts NOT #MUSA2020.
A good press will call the President and asked for explanation! https://t.co/mh1dttzCJG
— Damian Yeo (@babayeo) December 23, 2019
Terdapat juga cadangan daripada penyokong yang mahu MUSA menjana pendapatan melalui penjualan pas bermusim dan ‘mechandise’ rasmi pasukan untuk memastikan kantung kewangan tidak berkurangan.
“Ada yang mencadangkan pas bermusim. Ya, kita sudah ada 6 pakej. Tetapi semua ini perlukan masa. Merchandising pun kita dah fikirkan dan saya berharap agar penyokong membelinya.
“Perbelanjaan kita untuk musim 2020 adalah mengikut sponsor. Oleh kerana itu, saya dah kata asalkan kita masih duduk liga super sudah OK,” tambahnya.
Melaka setakat ini telah menandatangani 13 pemain baharu bagi menghadapi saingan musim 2020. Antara pemain baharu yang ditandatangani ialah Ahmad Syamim Yahya, Khair Jefri Jones, Norazlan Razali, Romel Morales, Curran Ferns, Nurridzuan Abu Hassan, Feris Danial Mat Nasir serta Khairul Anwar Shahrudin.
Dalam saingan Liga Super musim 2019, pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan itu menamatkan saingan di tangga ke-6 dengan kutipan 33 mata.
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia untuk musim 2020 yang mungkin anda terlepas pandang.