Presiden Inter Milan, Steven Zhang mendedahkan masalah tidak sehaluan dalam aspek jual beli pemain menyebabkan kelab tersebut melepaskan pengurus pasukan, Antonio Conte dan menggantikannya dengan Simone Inzaghi.
Kejayaan Conte membawa Nerazzurri menjulang trofi Serie A musim ini sekali gus menamatkan penantian sembilan tahun itu masih belum cukup untuk menghalang Zhang yang tetap mahu menjual beberapa pemain utama Inter Milan.
Perkara tersebut terpaksa diambil ‘tampuk pemerintahan’ tertinggi Inter Milan itu sebagai langkah penjimatan berikutan ketidaktentuan kewangan berikutan pandemik yang masih lagi melanda dunia pada ketika ini.
“Sejak dari awal kami mengambil alih Inter Milan kami mengetahui bahawa Conte akan menjadi jurulatih terbaik buat projek kami ini.”
“Dua tahun lalu kami akhirnya berjaya membawa dia ke sini untuk membimbing Nerazzurri,” ujar Steven Zhang menurut laporan Goal.
“Saya masih yakin bahawa Conte adalah seorang jurulatih mampu menghadirkan kejayaan. Inilah sebab mengapa kami banyak melaburkan wang untuk dirinya dan pasukan pada dua musim terakhir.”
“Musim panas lalu ketika pandemik begitu memberikan kesan kepada pendapatan pasukan tetapi kami terus bersama dia, memberikan fokus pada musim [lalu] dengan keyakinan kami mampu menjuarai saingan.”
“Keputusan kami nyata tepat sekali, tetapi keadaan ketika ini menyebabkan kami terpaksa melihat semula perbelanjaan bagi masa hadapan.”
“Kami mesti mengurangkan kos dalam mengendalikan risiko mendatang. Hal ini tentunya akan mempengaruhi strategi jual beli pemain di jendela perpindahan. Perbezaan pendapat mengenai perkara ini menyebabkan kami berpisah.”
“Apa yang menjadi perkara asas bagi kelab, tidak baginya, dan sebaliknya. Conte merupakan jurulatih terbaik, namun sebagai presiden Inter Milan, saya harus memikirkannya supaya kelab ini akan terus mantap,” tambah Zhang lagi.
Baca artikel lain tentang Inter Milan:
RASMI: Inter Milan Juara Itali! Tamatkan Monopoli 9 Tahun Juventus