Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim yang berjaya memenangi saingan Liga Super musim 2019 sekaligus gelaran keenam secara berturut-turut untuk kelab dari Selatan tanah air itu.
Ucapan tahniah dari Infantino disiarkan di laman media sosial rasmi JDT, Johor Southern Tigers setelah sepucuk surat dihantar kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. Menurut surat tersebut, Infantino berkata kerja keras semua wagra JDT menjadi faktor kelab tersebut mencapai kejayaan musim ini.
“Ini adalah, tanpa keraguan, hasil dari usaha dan kerja keras, dan semua orang yang terlibat boleh berbangga dengan pencapaian yang hebat ini.”
“Bagi pihak komuniti bola sepak antarabangsa, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan persatuan anda atas bantuan menyebarkan mesej positif bola sepak serta memupuk amalan sukan indah ini yang menyatukan kita semua,” kata Gianni Infantino.
Johor Darul Ta’zim berjaya mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini berbaki 4 perlawanan untuk diharungi. Pasukan bimbingan Benjamin Mora ini akan menghadapi Terengganu FC pada perlawanan terakhir Liga pada hujung minggu ini.