Presiden Perancis, Emmanuel Macron tetap berbangga dengan prestasi hebat ditampilkan para pemain Les Blues walaupun tewas ditangan Argentina pada aksi final Piala Dunia 2022, awal pagi tadi.

Baca Juga:

Perancis berjaya bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 minit terikat 3-3 menerusi hatrik daripada Kylian Mbappe.

Namun, kegagalan Kingsley Coman dan Aurelien Tchouameni menyempurnakan sepakan telah menghalang Perancis untuk menjulang Piala Dunia buat dua edisi berturut-turut.

Sehubungan dengan itu, Macron yang turut berada di Lusail Iconic Stadium untuk menyaksikan pertembungan dramatik tersebut menganggap Mbappe dan rakan sepasukannya telah membuatkan rakyat Perancis berbangga dengan mereka.

“Kami ketinggalan jauh pada akhir separuh masa pertama. Ia sudah pun terjadi, terdapat kebangkitan semula seperti itu, ia merupakan perkara yang sangat jarang kelihatan dalam sejarah bola sepak.”

“Kami bangkit dengan cukup hebat. Ia sangat luar biasa apa yang telah ditampilkan oleh Mbappe tetapi keseluruhan pasukan begitu lapar [untuk terus memburu jaringan]. Saya sangat mempercayainya.”

“Mbappe merupakan seorang pemain yang sangat hebat, tetapi dia masih muda. Saya mengatakan kepadanya bahawa dia hanya berusia 23 tahun.”

“Dia merupakan penjaring terbanyak dalam Piala Dunia. Dia memenangi Piala Dunia [2018] dan kali ini beraksi di perlawanan akhir.”

“Saya juga merasai kesedihan sama seperti dia. Saya berkata dia telah membuat kami semua sangat berbangga dan pada akhirnya kami kalah perlawanan bola sepak, kami tidak memperolehi apa-apa.”

“Itulah bola sepak,” ujar Macron menurut laporan dikeluarkan FotMob.

 

 

Sumber