Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menerima kunjungan rasmi daripada Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Baca Juga:

Ia hari yang bersejarah buat FAM kerana ini merupakan pertama kalinya Shaikh Salman menjejakkan kaki di Wisma FAM selepas hampir 10 tahun beliau yang merupakan kerabat diraja Bahrain menjadi Presiden AFC sejak Mac 2013.

Kunjungan Shaikh Salman ke Wisma FAM, pagi tadi turut disambut oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang lain serta Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan.

Shaikh Salman yang diiringi oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John turut dibawa melihat fasiliti-fasiliti yang terdapat di Wisma FAM.

Malah beliau turut memuji prestasi cemerlang pasukan Harimau Malaya dan juga peningkatan kelab-kelab dari Liga Malaysia yang berjaya melangkah jauh dalam saingan AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC (AFC Cup) musim ini.

“Di bawah kepimpinan Datuk Hamidin, FAM telah banyak melabur dalam pembangunan bola sepak dan hasilnya cukup mengagumkan, jelas menunjukkan visi AFC untuk membangunkan sukan itu dalam Persatuan Ahlinya.

“Pasukan kebangsaan Malaysia akan bersaing dalam Piala Asia 2023™ selepas begitu lama dan ini adalah berita yang sangat memgembirakan semua rakyat Malaysia yang meminati sukan bola sepak.

“Ditambah pula dengan kejayaan JDT mara ke pusingan 16 ACL 2022 dan juga Kuala Lumpur City yang berjaya ke final Piala AFC pada tahun ini,” kata Shaikh Salman dalam satu kenyataan rasmi. 

Sebelum ini, Shaikh Salman turut menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada tiga hari lepas.

Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah taklimat mengenai pembinaan Stadium AFC, bernilai USD50 juta dan berkapasiti 10,000 penonton, oleh AFC dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), di Putrajaya.

Kali terakhir Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Yang Mulia Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa di Istana Negara ialah pada 7 November 2019 sempena majlis penganugerahan ‘AFC Diamond of Asia’ kepada Baginda.

Anugerah yang berprestij itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Seri Paduka Baginda selama lebih tiga dekad terhadap sukan bola sepak di benua ini.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Naib Presiden AFC, Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Baginda juga telah mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih antara tiga Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA mewakili Asia bagi penggal 2015-2019.