Skuad Terengganu FC mencatat keputusan yang positif dalam siri jelajah pra musim di Thailand apabila terikat 1-1 dengan kelab Thai League 1 Thailand, Suphanburi FC semalam.
Menurut kenyataan daripada laman sosial Terengganu FC, Suphanburi FC menurunkan barisan terkuat mereka yang terdiri daripada 5 pemain skuad kebangsaan Thailand dan 2 pemain skuad kebangsaan Filipina.
Pada separuh masa pertama, bekas pemain import Kuala Lumpur, Ryutaro Karube menjaringkan gol pendahuluan buat Suphanburi FC pada minit ke-35 untuk memberikan kelebihan.
Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain kemudian melakukan sedikit perubahan di bahagian tengah menyaksikan Lee Tuck kembali ke barisan utama Terengganu FC dengan lilitan kapten.
Pada separuh masa kedua, Terengganu FC berjaya mengawal permainan dan Faiz Nasir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 64. TFC hampir mendapatkan jaringan kemenangan setelah melakukan serangan bertali arus namun tandukan akhir dari Faris Ramli berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.
Selepas ini, mereka akan bertemu kelab Liga Super China, Tianjin Teda FC pada 3 Februari 2020. Berdasarkan rekod, Tianjin Teda FC berada dalam kelompok 10 teratas Liga Super China 2019.
Perlawanan itu juga bakal menjadi medan Terengganu FC menguji beberapa pemain muda yang baharu diserap masuk untuk berganding dengan lima bintang importnya iaitu Dominique da Sylva (penyerang), Lee Tuck (tengah), Sanjar Shaakhmedov (tengah) Faris Ramli (sayap) dan Babacar Diallo (pertahanan).
Lihat artikel lain mengenai persiapan pra musim pasukan Liga Super melalui pautan dibawah.
Pra Musim: JDT Tewaskan Juara 7 Kali Liga Slovakia, MSK Zilina