Selangor gagal untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA 2019 apabila tunduk kepada Felda United dengan keputusan 2-1 pada perlawanan pusingan ketiga semalam. Kekalahan tersebut bukan hanya meranapkan impian pasukan untuk mengejar slot ke Asia malah membangkitkan amarah peminat setia The Red Giants.
Jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2019 akan dibuka pada Mei dan ketua jurulatih, B.Sathianathan dilihat perlu membuat penambahbaikan di beberapa posisi bagi memastikan Selangor kembali menjadi pasukan pencabar.
1. Penjaga Gol
Sathia setakat ini telah menggunakan dua penjaga gol iaitu Khairul Azhan dan Farizal Harun. Namun, kedua-dua pemain ini gagal menampilkan aksi yang konsisten. Sathia perlu membawa masuk penjaga gol yang mampu untuk menyimpan clean sheets dan berkomunikasi dengan baik bersama rakan di bahagian pertahanan bagi memperbaiki kelemahan yang ketara.
2. Pertahanan Tengah.
Gandingan Taylor Regan bersama Michal Nguyen menampilkan peningkatan sejak tiga perlawanan sebelumnya. Namun, apabila salah seorang daripada mereka tidak dapat diturunkan, gandingan yang diletakkan nyata tidak dapat membentuk satu gandingan yang baik dan menjadi liabiliti untuk pasukan.
Selangor perlu membawa seorang lagi pemain pertahanan tengah yang mampu untuk menyaingi sama ada Michal ataupun Regan agar tidak berlaku sebarang masalah apabila Sathia terpaksa membuat perubahan.
3. Left Back
Hanya Fandi Othman yang berjaya menampilkan prestasi cemerlang di posisi left back pasukan Selangor. Seorang lagi pemain, K.Prabakaran dilihat gagal untuk beraksi dengan baik dan selalu menjadi lubuk bagi pemain serangan pasukan lawan.
Selangor perlukan seorang lagi pemain bagi memberikan saingan kepada Fandi.
Itulah dia 3 posisi yang memerlukan penambahbaikan bagi memastikan Selangor kembali bangkit bagi baki saingan musim 2019. Mereka tidak boleh keciciran mata jika mahu memperbaiki kedudukan dalam carta Liga.