Ketua jurulatih Thailand, Alexandre ‘Mano’ Polking jelas amat berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak buahnya yang menyaksikan mereka bangkit untuk mengikat Indonesia 1-1 pada aksi ketiga Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, petang semalam.

Baca Juga:

Ketinggalan pada awal babak kedua dan kemudiannya terpaksa bermain dengan 10 orang ekoran kad merah diterima Sanrawat Dechmitr, anak buah Polking masih mampu untuk menguasai permainan sekali gus mendapatkan jaringan penyamaan menerusi Sarach Yooyen.

Keputusan penting diraih tersebut terus meletakkan Thailand di tangga teratas kumpulan A dengan kelebihan defisit jaringan berbanding pencabar terdekat itu.

“Saya rasa sangat senang untuk melihat semangat juang yang ditampilkan barisan pemain kami ketika menghadapi situasi seperti ini,” ujar Polking menurut laporan Goal Indonesia.

“Mereka tertinggal satu gol, kemudiannya kehilangan seorang pemain tetapi kami masih mampu mengejar dan menjaringkan satu gol dan bertahan dengan keadaan padang cukup sukar.”

“Penyokong Indonesia memberikan tekanan kepada kami. Untuk bangkit seperti ini, saya ucapkan tahniah kepada mereka semua. Semangat juang pasukan Indonesia banyak membantu kami untuk terus ke hadapan.”

“Mereka menjaringkan gol awal pada separuh masa kedua. Dan itu membuatkan perlawanan menjadi sangat berbeza. Ia membuatkan pemain kami sedikit gementar.”

“Kemudiannya kami mendapat pula kad merah dan ia jelas mengubah perlawanan secara keseluruhannya.Situasi kad merah itu tidak sepatutnya berlaku.”

“Ia jelas menyukarkan kami. Tetapi saya fikir secara umum ia sangat bagus dengan tekanan penyokong dan keadaan seperti itu buat kami,” tambah Mano Polking lagi.