Ketua jurulatih Thailand, Alexandre ‘Mano’ Polking mengakui situasi akan cukup berbeza jika anak buahnya dapat beraksi dengan baik pada separuh masa pertama ketika bertemu Malaysia, malam tadi.

Baca Juga:

Aksi hambar yang dipamerkan Thailand pada separuh masa pertama membolehkan Malaysia mendapatkan gol pendahuluan menerusi jaringan pemain pertahanan kiri, Corbin-Ong.

Keadaan itu membuatkan Polking terpaksa merencana strategi baharu dengan kemasukan tiga pemain simpanan pada 45 minit seterusnya yang sekali gus memperlihatkan Thailand tampil lebih garang untuk memburu jaringan.

Jaringan yang dinantikan akhirnya menjelma pada masa kecederaan menerusi tandukan Pansa Hemviboom untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Sehubungan dengan itu, Polking turut melihat sekiranya gol penyamaan dapat diperolehi lebih awal oleh anak buahnya, beliau merasakan pemain Thailand mampu untuk menambah jaringan.

Kredit Foto: Changsuek

“Keputusan untuk 90 minit perlawanan amat tepat bagi kedua-dua pasukan. Malaysia bermain lebih baik pada separuh masa pertama,” ujar Polking bercakap selepas tamat perlawanan malam tadi.

“Tetapi di babak kedua, kami telah meningkatkan intensiti permainan, mengubah strategi permainan dan tampil dengan lebih bagus.”

“Jika kami dapat beraksi dengan baik sepanjang 90 minit permainan, atau gol di babak kedua diperoleh lebih awal, keputusan perlawanan malam ini mungkin akan berbeza.”

“Tetapi ada sisi positif daripada keputusan perlawanan ini, Thailand mempunyai masa depan yang baik dengan kehadiran pemain muda seperi Suphanat Muenta yang beraksi dengan cukup baik pada separuh masa kedua,” tambah Mano Polking lagi.

Dengan kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti itu, Thailand akan bertemu Trinidad & Tobago bagi perebutan tempat ketiga dan keempat saingan 48th King’s Cup 2022.