Ketua Polis Pontian, Mohammad Shofee Tayib mengesahkan ‘Geng Eddy’ yang dianggotai lima lelaki termasuk seorang bekas pemain bola sepak Liga Malaysia kini telah tumpas sepenuhnya.
Baca Juga:
- Ceroboh Bilik Hotel Diduduki Isteri Orang, Bekas Pemain Harimau Malaya Ditahan
- Pukul Teman Wanita, Pemain Sabah Ditahan Polis
- Kelantan United Sahkan Fakhrul Zaman Ditahan Polis Berkenaan Kes Rogol Remaja Perempuan
Penangkapan lima lelaki berusia 24 hingga 34 tahun itu sekaligus berjaya menyelesaikan 13 kes melibatkan pecah rumah di daerah Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Muar.
Beliau berkata geng berkenaan dipercayai mula aktif semenjak Mei lepas, dengan menjadikan rumah yang kosong pada siang hari sekitar pukul 2 hingga 3 petang setelah pemiliknya keluar bekerja, sebagai sasaran.
Polis juga berjaya menemui wang tunai termasuk mata wang Korea Utara Won (KPW), barang kemas, beg berjenama, telefon bimbit, komputer riba, pakaian, resit jualan emas dan peralatan pecah rumah.
“Mereka akan mengumpil pintu pagar dan tingkap sebelum masuk ke dalam rumah dan mencuri barangan berharga seperti barang kemas, wang tunai, jam dan beg berjenama.
“Sebelum tangkapan dilakukan, kesemua dipercayai sedang memecah masuk sebuah rumah di Sanglang, Benut, yang kemudiannya disedari pemilik seterusnya dikejar sebelum kereta yang dinaiki suspek terbabas berhampiran lokasi,” katanya.
JENAYAH | Polis menumpaskan geng Eddy yang turut dianggotai seorang bekas pemain bola sepak yang giat melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Pontian, Batu Pahat, Muar dan Tangkak sejak Mei lalu.
Video penuh: https://t.co/8S37eEt8cZ pic.twitter.com/igPI1mZg1t
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 13, 2023
Lebih mengejutkan, semua penjenayah yang ditahan disahkan positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Kesemua rampasan dalam kes ini adalah RM350,000, selain kesemua yang ditahan positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah. Mereka direman sehingga 17 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Bagaimanapun, penahanan bekas pemain yang pernah beraksi bersama kelab gergasi dalam saingan Liga Super di Selatan dan Utara tanah air itu cukup mengejutkan peminat bola sepak tempatan.
Ramai peminat tidak menyangka pemain lincah di posisi sayap itu kini telah menjadi seorang penjenayah yang terlibat dalam kes rompakan dan pecah rumah.
Malah, dia juga pernah berkelana ke Liga Thailand selama dua tahun selain turut menjalani pemilihan bersama kelab berpengkalan di Jepun.