Paul Pogba menyatakan bahawa dia mengalami depresi selepas peristiwa dengan Jose Mourinho. Di mana pemain itu kemudian tidak sehaluan dengan pengurus tersebut selepas itu.
Jose Mourinho telah menggelar Paul Pogba sebagai virus di dalam pasukan dan menjangkiti beberapa pemain pemain lain.
Ia turut membawa kepada jawatan timbalan kapten beliau dilucutkan oleh Jose Mourinho pada September 2018. Tiga bulan kemudian Jose Mourinho dipecat oleh kelab.
Ketika Mourinho dipecat, Pogba memuat naik gambar yang dianggap sindiran kepada Mourinho. Namun dia menafikannya dan menyatakan gambar itu sudah dijadualkan lebih awal untuk kempen Adidas.
Segala yang berlaku ketika itu membuatkan Pogba sangat tertekan.
Mourinho jadi punca
“Saya mengalami depresi beberapa kali dalam karier saya. Namum kamu taka akan bercakap tentangnya,” kata Pogba kepada La Figaro.
“Kadangkala, kamu tak tahu yang kami kemurungan, kamu hanya mahu bersendirian, memencilkan diri, dan ini adalah tanda tanda yang sukar untuk diakui.”
“Secara peribadinya, kemurungan itu bermula ketika saya berada bersama dengan Jose Mourinho di Manchester. Kamu bertanya dengan diri sendiri, adakah ianya salah kamu, kerana kamu tidak pernah berada dalam situasi seperti itu di dalam hidup kami.”
Paul Pogba menyertai semula Manchester United pada 2016 dengan rekod perpindahan dunia pada masa itu. Musim yang sama, Jose Mourinho mengambil alih daripada Louis Van Gaal yang dipecat.
Pogba membantu Manchester United memenangi Piala Liga dan Piala Europa pada 2017. Namun hubungan Pogba dan Mourinho menjadi tegang selepas itu.
Mourinho tidak berpuas hati dengan Pogba yang dituduhnya ada masalah disiplin. Dan kemudian menyatakan bahawa Pogba tidak akan pernah menjadi kapten lagi itu kelab tersebut.
Pogba menegaskan bahawa dia mulai fokus untuk membicarakan masalah depresi yang dia alami dengan keluarga dan juga bekas pemain yang pernah mengalami pengalaman serupa termasuk Patrick Evra yang disifatkannya telah banyak membantunya untuk keluar dari kemurungan.
“Saya tak mahu semua momen negatif ini membuatkan saya terlupa denga semua pencapaian saya. Ianya memang sukar.”
Paul Pogba opens up on experiencing depression at Manchester United https://t.co/AixUgWkeYM
— The Guardian (@guardian) March 23, 2022
“Dan apabila kami tidak mampu melaluinya seorang diri, saya banyak bercakap dengan ‘Uncle Pat’ [Evra], bekas pemain yang pernah mengalaminya. Kerana mereka dapat memahami dengan tepat masalah yang saya alami.”
“Bercakap dan didengari, mengeluarkan semua kemarahan dan kemurungan yang membelenggu diri kamu. Ianya adalah mandatori untuk dilakukan.”
“Sudah tentulah, kita meraih banyak wang dan kita tak boleh mengomel, betul, tetapi itu tidak akan menghalang kamu daripada menempuhi saat saat seperti ini. Sama seperti manusia lain yang menjalani kehidupan. Ada beberapa momen malah lebih sukar berbanding yang orang lain alami.”
“Hanya kerana kamu mendapat wang yang banyak, kamu harus gembira? Kehidupan ini bukan begitu. Namun, dalam bola sepak, ianya tidak dapat diterima [ramai pihak]. Walaupun kita bukan adiwira dan hanya manusia biasa.”
“Bola sepak adalah sukan yang paling individu, kamu akan dihakimi setiap 3 hari, kamu harus sentiasa beraksi dengan baik walaupun apa jua masalah yang sedang melanda kamu seperti mana manusia lain.”
“Jelas sekali, kamu akan merasainya di dalam badan kamu, dalam minda kamu dan kamu akan merasa sakit untuk sebulan malah sehingga setahun. Kamu tak boleh bercakap di khalayak umum.”
“Semua yang ada dalam fikiran kamu akan mengawal semua perkara berkaitan dengan prestasi seorang atlet di peringkat tertinggi. Malangnya, hanya ada segelintir kecil sahaja yang bercakap tentangnya.”
“Jika mental kamu tak cukup kuat, kamu akan mati dalam sukan ini. Ujian ini mendesak kamu, namun kamu tak boleh sesekali berputus asa.”
Beza peranan di United dan Perancis
Pogba yang kontraknya akan tamat pada akhir musim ini masih belum memutuskan soal masa depannya. Beliau bercakap tentang peranannya di Man United dan Perancis.
Pemain tengah itu berkata elemen peranan yang dimainkannya dalam pasukan Red Devils, tidak seperti pasukan kebangsaan di bawah bos Didier Deschamps.
“Jurulatih [Deschamps] dan saya bergaul sangat baik,” kata Pogba, yang berada di kem bersama Perancis sebelum perlawanan persahabatan menentang Ivory Coast dan Afrika Selatan.
“Dia memberi saya peranan yang saya tahu, tetapi di Manchester United, adakah saya benar-benar mempunyai peranan? Saya bertanya soalan dan saya tidak tahu jawapannya.”
Mahu memenangi trofi sekali lagi
Ditanya mengenai harapannya apabila kontraknya tamat, Pogba menjawab: “Untuk terus menang, maju, dan mengejar semula tahun tahun yang saya tidak dapat memenangi trofi.”
“Sejujurnya, saya tidak berpuas hati dengan lima musim lalu, saya benar-benar tidak berpuas hto. Untuk tahun ini, ianya sudah berakhir, kami masih tidak memenangi apa-apa. Sama ada bersama Manchester atau di kelab lain, saya mahu memenangi trofi. ”
Pingat Piala Dunia dicuri
Pogba juga berkata pingat Piala Dunia miliknya telah dicuri oleh pencuri yang memecah masuk ke rumahnya.
Dia bercakap tentang “mimpi ngeri terburuk keluarganya” minggu lalu apabila rumahnya dirompak semasa perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Atletico Madrid.
Dua anaknya yang masih kecil dan pengasuh mereka berada di dalam rumah ketika itu.
“Perkara paling penting adalah anak saya baik baik sahaja,” katanya.
Bercakap tentang apa yang diambil oleh pencuri, Pogba menambah: “Terdapat permata yang pemberian ibu saya, dan pingat juara dunia saya.”
“Apa yang paling saya takutkan ialah dua anak saya berada di rumah bersama pengasuh ketika kejadian ini.”
“Dia [pengasuh] mendengar segala-galanya, menelefon isteri dan pegawai keselamatan saya, kemudian mengurung dirinya dengan anak anak kami di dalam bilik. Dia mengalami kejutan untuk beberapa hari.”